Titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin agar Kerajaan Negeri diterajui Pas menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Persekutuan disokong oleh KEADILAN Kemaman.
Menurut Ketua Penerangannya, Ahmad Nadhir Yob, titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman itu wajar dilaksanakan oleh ketua Kerajaan Negeri, Menteri Besar Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.
"KEADILAN Kemaman hari ini menjunjung titah Tuanku Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang menyarankan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional memperkasakan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan
"Titah baginda itu seharusnya diambil serius oleh Kerajaan Negeri agar rakyat negeri Terengganu mendapat manfaat yang optimum melalui kerjsama Kerajaan Negeri dan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, ujar Ahmad Nadhir, kerajaan Pas Terengganu selepas ini perlu bersikap lebih matang dan mengawal ahli politik dari parti mereka untuk tidak melemparkan tohmahan melulu membenci Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
"Justeru itu KEADILAN Kemaman menggesa Pas selaku parti peneraju pentadbiran kerajaan Terengganu untuk bersikap matang dan menghentikan segala bentuk politik murahan dan juga politik melampau yang menjadi penghalang kerjasama antara Kerajaan Negeri dan pusat.
"Situasi ini hanya merugikan rakyat negeri Terengganu yang terus terperangkap dalam polemik yang merugikan," katanya lagi.
Kelmarin Sultan Mizan bertitah agar Kerajaan Negeri merancang pengurusan kewangan yang efektif dalam menghadapi cabaran ekonomi terkini, antaranya dengan memperkasakan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah, melalui jalinan kerjasama itu Kerajaan Negeri perlu menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang secara komprehensif bersama jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri berkenaan.
"Kerjasama ini merangkumi perancangan cadangan projek-projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan berakhir pada 2025.
"Seterusnya kesinambungan perancangan ini hendaklah diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan bermula pada 2026. Perancangan dan tumpuan yang teliti bagi perkara ini pastinya memberikan impak secara terus terhadap kesejahteraan rakyat Beta," titah baginda dipetik.
Комментарии