Saranan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah baru baru ini supaya ahli Dewan Negara melakukan libat urus dengan pihak awam dan swasta merupakan saranan yang baik untuk dilaksanakan.
Menurut Senator Abun Sui Anyit, selama ini hanya anggota Dewan Rakyat sahaja yang turun ke kawasan parlimen masing masing melakukan libat urus bersama rakyat.
Dengan saranan terbaharu, katanya, ahli Dewan Negara boleh lebih berpenanan di tengah tengah masyarakat.
"Ini bermakna ahli Dewan Negara bukan sahaja menggubal undang-undang tetapi juga boleh membantu kerajaan melalui libat urus dengan rakyat.
"Menyantuni rakyat dan mendengar keluhan mereka dan membantu dalam menyelesaikannya adalah bentuk libat urus yang perlu dilakukan.
"Maka tidaklah salah kalau ahli Dewan Negara turun padang untuk mendengar aduan rakyat terutamanya daripada mereka yang lemah dan tidak terbela," kata Abun di Facebook.
Pada 9 Jan lalu, Yang di-Pertua Dewan Negara berkata Majlis Dewan Negara telah menubuhkan tiga jawatankuasa bagi melaksanakan tanggungjawab yang lebih efektif, iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat, serta Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-undang.
"Ahli-ahli disaran melaksanakan libat urus dengan pihak awam serta swasta, dalam dan luar negara, termasuk yang mengamalkan sistem Westminster," katanya dipetik.
Comments