
Oleh: Akmal Manaf
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit hari ini menyambut baik pandangan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemilihan bagi jawatan-jawatan dalam parti berkenaan.
Semalam, Anwar yang juga Perdana Menteri ketika berucap di Konvensyen KEADILAN Perak, memberi bayangan pemilihan itu perlu dilaksanakan segera dan beliau tidak bersetuju menangguhkannya kerana Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih jauh.
Susulan itu, Abun menyifatkan pemimpin baharu, berpengalaman dan bertenaga pasti akan muncul selepas pemilihan dilakukan.
Katanya dengan adanya pemimpin baharu yang bertenaga, bukan sahaja parti menjadi lebih kuat, malah Kerajaan MADANI pimpinan Anwar juga pasti akan diperkuat seterusnya menjadi pilihan rakyat dalam pilihanraya akan datang.
"Malaysia (dengan barisan pemimpin berkualiti) akan bangkit menjadi negara yang disegani di rantau ini seterusnya di peringkat antarabangsa.
"Sesungguhnya pemilihan ini akan menyaksikan terdapat pemimpin yang terus mengekalkan rentak kepimpinan yang baik.
"Anggota parti juga diberikan hak untuk memilih pemimpin yang benar-benar berjuang dan berbakti kepada parti," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Abun berkata, keputusan yang disuarakan Anwar semalam bersesuaian dengan Perlembagaan Parti berhubung tempoh kepimpinan sedia ada bagi sesi 2022-2025.
"Keputusan mengadakan pemilihan parti memang boleh dijangka berdasarkan tempoh ini.
"Sebagai pendukung parti, saya secara peribadi menyokong proses pemilihan parti dilaksanakan.
"Sekali lagi saya tegaskan, saya menyokong pendirian Presiden (Datuk Seri Anwar) sebagai suara biro politik parti dengan mengadakan pemilihan kerana PRU16 masih jauh," ujar beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.
Dalam ucapan Anwar semalam, beliau menyifatkan parti harus membina kepimpinan generasi baharu dan sayap parti itu seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita KEADILAN harus diberi ruang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berpandangan, terdapat keperluan diadakan sinergi antara pemimpin muda dan lama untuk memperkuatkan parti.
Comments