Tindakan Pas menyokong bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak mungkin dilihat berjaya meningkatkan sokongan orang Melayu UMNO terhadap parti itu, namun secara tidak disedari langkah itu merupakan 'checkmate politik' kepada parti tersebut yang sebelum ini tidak bersetuju cadangan kerajaan untuk membenarkan banduan menjalani tahanan di rumah.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akedemi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ismail Yusof, Pas merupakan parti yang tidak menyokong undang undang tahanan di rumah malah para penyokongnya berpendapat Kerajaan Perpaduan dalam Belanjawan 2025 mengumumkan mahu mewujudkan Rang Undang Undang (RUU) baharu sebagai laluan bagi Najib ditahan di rumah.
Bagaimanapun, kata Ismail, apabila Pas telah menyokong Najib dan mahu titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke 16 mengenai tahanan rumah dikuat kuasakan maka satu undang undang baharu tidak boleh dielak, mesti diwujudkan.
"Semasa Belanjawan 2025, cerita tahanan rumah ini sudah meletup. Apatah lagi PMX tidak menyebut semasa pembentangan, tetapi diletakkan saja dalam teks penuh Belanjawan 2025.
"Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang termasuk media, mula hangat membincangkan perkara ini setelah membaca dalam teks belanjawan. Majoriti membuat persepsi bahawa PMX cuba ingin memberikan keistimewaan buat Datuk Seri Najib Razak.
"Oleh itu, jika PMX meneruskan agenda tahanan rumah melalui legislatif parlimen, ia akan menjadi satu langkah yang akan memberikan kesan besar pada karier politik PMX dan Kerajaan MADANI, khususnya dalam komponen Pakatan Harapan," katanya di Facebook.
Bagi Ismail, mungkin di atas alasan itu PMX memberikan ruang kepada badan kehakiman yang bebas untuk mengesahkan titah adendum tahanan rumah wujud dan boleh dilaksanakan.
Katanya, Perlembagaan dan undang undang tidak memperuntukkan pelaksanaan tahanan rumah. Merealisasi tahanan rumah memerlukan parlimen meluluskan satu akta khusus sebelum dikuat kuasakan.
"Setelah apa yang berlaku semalam (Isnin lalu), PMX dan Kerajaan MADANI sudah tiada masalah untuk membawa usul dan meminda akta untuk tahanan rumah, dalam keadaan badan "judiciary" telah mengesahkan kewujudannya dan pembangkang sendiri sangat ghairah menyokongnya.
"Dan untuk komponen PH yang menghormati kedaulatan undang-undang, langkah ini adalah keputusan mahkamah yang perlu dihormati dan atas keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, bukan kerana 'takut' kepada UMNO
"Untuk UMNO pula wujud keyakinan bahawa Datuk Seri Najib akan mendapat perintah tahanan rumahnya. Sudah tentu ini akan membuatkan UMNO akan terus utuh di belakang PMX dan kerajaan MADANI," ujarnya.
Oleh itu, kata Ismail, senario terbaharu ini menunjukkan Pas telah checkmate dalam langkah politik. Mereka telah memberi laluan yang terbaik untuk PMX, berbanding menjadikan isu tahanan rumah sebagai satu modal politik untuk menyerang kredibiliti PM dan Kerajaan MADANI sebagai kerajaan reformis.
"Jika Pas fikir Datuk Najib berada dalam tahanan rumah akan memberi tekanan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO, sejujurnya Pas memang berfikiran cetek.
"Untuk Bersatu pula, bolehlah terus merajuk. Tiada siapa pun yang nak pujuk.
"Untuk Tun Mahathir... selamat menguruskan politik gila Perikatan Nasional," kata Ismail sinis.
コメント