Tindakan Ahli Parlimen PN yang membaca qunut nazilah, mendoakan kecelakaaan ke atas musuh politik selepas Ahli Parlimen Machang digantung menyertai sidang selama 6 bulan minggu lalu merupakan perbuatan yang ghuluw atau melampau.
Sehubungan itu, KEADILAN Terengganu menyokong kenyataan mufti negeri itu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron yang menegur perbuatan tersebut sebagai bertentangan ajaran Islam sebenar.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu, Ahmad Nazri Yusoff, perbuatan Ahli Parlimen PN tersebut hanya mengelirukan umat Islam berhubung pergaulan terhadap umat yang berbeza pandangan politik serta mewujudkan tanggapan buruk dalam kalangan bukan Islam terhadap akhlak Islam.
"MPN KEADILAN Terengganu menyokong penuh kenyataan Mufti Terengganu berkenaan qunut nazilah yang dibaca dalam parlimen (minggu lalu).
"MPN Terengganu juga menyeru semua pihak agar tidak terpengaruh dengan mana mana aliran agama yang menjurus kepada ekstremisme dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar," katanya.
Justeru, KEADILAN Terengganu berharap agar pihak pemerintah mengambil tindakan ke atas pihak yang membawa aliran politik ghuluw di Malaysia agar kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
"MPN Terengganu juga meminta kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap cubaan untuk memanipulasi agama demi kepentingan politik," katanya lagi.
Semalam, Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, perbuatan membaca qunut nazilah ke atas musuh politik mesti ditegah ekoran doa itu adalah amalan Nabi Muhammad SAW khususnya ketika peperangan Ahzab melawan kaum musyirikin.
"Islam melarang doa qunut nazilah dibacakan kepada saudara sesama Islam, tidak kira mereka berbeza fahaman politik atau pandangan terhadap sesuatu perkara.
"Bukan itu sahaja, Imam Al-Ghazali turut mencela mana-mana doa kehancuran ditujukan kepada sesama Muslim," katanya dipetik kepada Sinar Ahad.
Comments