
Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan khas Misi Banjir - Skuad Ihsan Madani Wanita KEADILAN 2024)
Wanita KEADILAN Pusat terus mempergiatkan inisiatif menghantar sumbangan barangan serta menyantuni mangsa-mangsa banjir melalui Skuad Ihsan Madani Wanita KEADILAN ke negeri-negeri yang terkesan.
Antara barangan yang telah diagihkan untuk mangsa-mangsa banjir termasuklah kit makanan kering, beras, susu bayi, lampin pakai buang serta pelbagai lagi keperluan yang bersesuai untuk mangsa-mangsa banjir.
Selain daripada barangan tersebut termasuk turut disediakan adalah Kit Wanita Emas, kit kebersihan, kit ibadah serta kit kanak-kanak.

Pengumpulan barangan sumbangan tersebut telah digerakkan secara aktif oleh Ketua Wanita Pusat, Fadhlina Sidek dengan kerjasama para penyumbang daripada pelbagai pihak yang perihatin terhadap misi berkenaan.
Terbaharu, Fadhlina menyasarkan pemberian sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Sembilan dari daerah Jempol, Tampin dan Port Dickson.
Serahan sumbangan
Skuad Ihsan Wanita Madani yang diketuai oleh Pengerusi Biro Mobilisasi Wanita KEADILAN Pusat, Aidawaty Paiman telah menyerahkan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir di Jempol dan Tampin pada 17 Disember lalu.
Turut serta dalam skuad tersebut ialah Ketua Wanita KEADILAN Negeri Johor, Zuraidah Zainab Mohd Zain, Ketua Cabang Tangga Batu (Melaka) Mahani Masban bersama kumpulan sukarelawan misi tersebut.
Barangan sumbangan berkenaan disampaikan kepada Ketua Wanita KEADILAN Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim yang juga Exco Kerajaan Negeri (Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan).
Turut bersama menyaksikan penerimaan barangan sumbangan tersebut Ketua Wanita Cabang Jempol, Shahida Ayub dan sukarelawan misi banjir daerah tersebut serta wakil daripada Wanita Tampin.

Semalam penyerahan barangan sumbangan mangsa banjir daripada Ketua Wanita KEADILAN Pusat telah digerakkan ke kawasan Port Dickson melibatkan 19 orang dari Kampung Jimah Lama.
Santuni mangsa banjir
Penyampaian sumbangan dilakukan sambil menyantuni mangsa-mangsa banjir di kampung terbabit yang diwakili oleh Ketua Wanita Cabang Port Dickson, Rosmawaty Che Ros.

Turut bersama dalam program itu Pengerusi MPKK Kampung Jimah Lama, Hayusmidza Abdul Malek serta sukarelawan misi banjir daerah berkenaan.
Menurut Rosmawaty, bantuan daripada Fadhlina menceriakan mangsa-mangsa banjir di kampung itu.
"Mereka mengucapkan terima kasih kepada YB Fadhlina atas keperihatian memberi sumbangan barangan yang diperlukan. Mereka gembira kerana ada pemimpin wanita yang peka terhadap mangsa musibah banjir dan sudi menghulurkan sumbangan," katanya.
Sebelum ini, Skuad Ihsan Madani Wanita KEADILAN telah menjelajah ke Pantai Timur dan Utara bagi menyampaikan sumbangan serta menyantuni mangsa-mangsa ke daerah yang terkesan akibat bencana tersebut.
Sejak Skuad Ihsan Madani Wanita KEADILAN diaktifkan lebih empat ribu mangsa-mangsa banjir telah disantuni serta menerima sumbangan daripada Ketua Wanita Pusat dan para penyumbang yang turut membantu melaksanakan misi terbabit.
Comments