Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) semalam melancarkan Skuad Ihsan MADANI bagi memberikan bantuan pasca banjir yang akan membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas khususnya melibatkan golongan petani.
Kementerian dalam kenyataan berkata, misi itu melibatkan pegawai daripada kementerian, jabatan dan agensi yang digerakkan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang.
Laporan kerosakan sektor agromakanan semasa Monsun Timur Laut 2024 sehingga kini melibatkan 15,456 petani dan pengusaha tanaman dengan anggaran luas kawasan terjejas lebih 28,000 hektar dan anggaran nilai kerosakan melebihi RM177 juta.
"KPKM sentiasa prihatin dengan situasi semasa musibah banjir yang melanda negara ketika ini dan akan sedaya upaya memberikan bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga," kata kenyataan itu.
Terdahulu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menyempurnakan pelepasan Skuad Ihsan MADANI KPKM di Lobi Wisma Tani, Putrajaya.
Kenyataan itu berkata sebelum ini Skuad Ihsan MADANI KPKM juga telah digerakkan melalui jabatan dan agensi di bawah kementerian bagi memberi bantuan pasca banjir kepada kumpulan sasar seperti petani, pesawah, penternak, dan nelayan yang terjejas di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah.
"Pasukan sukarelawan berganding bahu melakukan aktiviti gotong-royong pembersihan, khidmat nasihat, agihan bekalan makanan, agihan makanan ternakan dan pemindahan ternakan ke penempatan sementara di beberapa negeri yang terjejas banjir," ujarnya.
Antara jabatan dan agensi di bawah KPKM yang terbabit ialah Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Dalam pada itu, KPKM berkata ia telah menyediakan mekanisme bantuan iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian bagi pengusaha tanaman selain padi.
"KPKM juga telah memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang mula dilaksanakan pada 13 September lalu. Skim takaful ini melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko termasuklah bencana banjir," ujarnya.
Tambahnya bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi diberikan secara tunai khusus kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam.
"Mekanisme ini melibatkan beberapa peringkat penilaian meliputi penyediaan Laporan dan Penilaian Kerugian oleh agensi di lapangan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dihadapi oleh pesawah," ujarnya.
コメント