Sebarang usaha menyiasat sesuatu pertuduhan secara terburu-buru berisiko menyebabkan pendakwaan yang lemah.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin berkata demikian mengulas gesaan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepat siasatan berhubung skandal video mengaitkan beberapa pemimpin negeri itu dengan rasuah.
"Dakwaan terhadap beberapa individu ini terlalu gopoh dan kelihatan lebih kepada bermotifkan politik sehingga SPRM dilihat tiada ruang cukup.
"Akhirnya, kecacatan pendakwaan akibat kekurangan bukti telah menyebabkan individu terlibat dilepaskan," katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, satu kumpulan akan mengadakan protes yang antara lain bagi mendesak SPRM mempercepat siasatan terhadap dakwaan beberapa ADUN Sabah, termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor, terlibat dalam rasuah mengaitkan seorang ahli perniagaan dan lesen penerokaan mineral.
Sementara itu Razeef menegaskan, walaupun isu rasuah di Sabah hangat diperkatakan beberapa bulan kebelakangan ini namun hal itu bukanlah perkara baharu di negeri itu.
Menyifatkan ia sudah berakar dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik termasuk dalam pentadbiran sebelum ini, beliau mengakui sukar untuk budaya itu dibenteras.
"Namun perbezaan dapat dilihat adalah di bawah Kerajaan Madani, kita tidak berkompromi terhadap individu yang melakukan rasuah serta salah guna kuasa.
"Berbeza dengan pentadbiran kerajaan terdahulu, hari ini semua pihak termasuk ahli politik akan disiasat dan diambil tindakan," katanya dipetik.
コメント