Mantan Senator Dewan Negara, Siti Aishah Shaik Ismail dibawa oleh pihak polis ke Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, petang ini.
Menurut kenyataan pendek Siti Aishah melalui aplikasi WhatsApp, beliau telah diiringi ke balai setelah pihak polis menyerbu kediamannya tengah hari tadi dan merampas telefon bimbit sebagai bahan bukti.
"Jam 1.40 petang tadi 3 kenderaan, satu dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan 2 polis Bahagian Siasatan Jenayah telah hadir ke rumah saya waktu itu ada ayah saya sahaja. Saya menghantar anak ke sekolah.
"Saya pulang 10 minit selepas itu. Mereka telah buat serbuan ke bilik saya dan melihat telefon yang saya guna untuk tik tok, upload video, rakaman dan dah dirampas.
"Sekarang saya di bawa ke balai Sungai Senam Unit Siasatan Jenayah, Ipoh di belakang Stadium Indera Mulia, Ipoh untuk disiasat," katanya.
Beliau belum pasti jenis kesalahan yang dituduh tetapi dimaklumkan siasatan dibuat bersabit klip video tik tok yang dimuatnaik berkenaan isu penarikan subsidi oleh Kerajaan BN - PN beberapa hari lalu.
"Buat masa ini saya dituduh dua perkara pertama sabitan atas video tersebut, kedua berkaitan dengan laporan polis dibuat oleh NGO ke atas diri saya di IPD Dang Wangi tempoh hari.
"Jadi saya masih dalam, bukan tahanan, tidak sebut jelas saya ditahan, tetapi dipanggil dan dibawa, diiring dari rumah saya sehingga ke balai polis untuk dirakam kenyataan. Doakan," katanya lagi.
Untuk rekod, dalam video tik tok yang dinyatakan Siti Aishah telah mengkritik kerajaan BN kerana menarik balik subsidi ke atas barangan keperluan yang akan menyebabkan harga ayam, telur dan minyak masak melambung.
Comments