top of page

Sistem Pendidikan Negara Dalam Fasa Krisis Pemaknaan?



Oleh: Nur Azura Kamaruddin Ozata


ULASAN: Ya, sejak mengenali alam pendidikan sebagai anak pendidik dan akhirnya mengambil keputusan untuk berkhidmat dalam dunia kependidikan sebagai usaha untuk mengubah sesuatu yang saya percaya ia benar, suatu masa dahulu.


Ia juga pernah dibenarkan oleh guru kami, almarhum Datuk Ustaz Siddiq Fadzil yang mengiyakan bahawa sistem pendidikan kita telah menghadapi krisis pemaknaan pendidikan yang tidak lagi manusiawi dalam catatan-catatan pendidikannya sekitar tahun 1980an hinggalah ke akhir usianya.


Malah pakar pendidikan seluruh pelusuk dunia juga telah menukilkan kebimbangan yang sama seperti yang dicatatkan oleh HR Lewis tentang kualiti pendidikan di Amerika khususnya di Havard University dalam bukunya Excellence without Soul, Deshooling Society oleh Ivan Illic dari Austria malah jiran terdekat dengan kita juga ketika dilanda kerisauan yang sama, lahir buku kecil - Orang Miskin Dilarang Sekolah yang berjaya membuka mata masyarakat alam Melayu bahawa mereka sedang dilanda 'krisis pendidikan' yang meletakkan orang miskin tidak lagi mampu mendapat pendidikan berkualiti kerana biaya pendidikan yang tinggi adalah syarat utama.


Halatuju pendidikan manusiawi


Itu belum lagi jika kita olah buku maha pengaruh; Pedagogy of the Oppressed yang ditulis oleh seorang pendidik akhirnya membuka horizon baru tentang pendidikan masyarakat Brazil seawal 1970an. Idea kritis dan pandangan Paulo Freire yang dapat merumuskan bagaimana pendidikan yang menekan golongan yang lemah dan miskin dapat diatasi sekiranya semua golongan bersatu untuk mendapatkan pendidikan yang mengangkat nilai insan dan tiada lagi yang ketakutan untuk menyuarakan pandangan dalam lapangan pendidikan.

Nur Azura Kamaruddin Ozata

Dan kini apabila negara kita dengan jelas sudah mengangkat halatuju pendidikan manusiawi, meletakkan nilai kebaikan insan mendahului kecerdikannya, hatta bila disebut tentang mengangkat 'karamah insaniah' yang bererti kemulian insan itu yang diutamakan, masih ada golongan yang pesimis, sinis merendah-rendahkan.


Malah entah mengapa ada yang beremosi mengatakan ia hanya 'slogan Arab' yang tidak perlu pun dilaungkan tanpa ingin memahami setulusnya mengapa ia diungkap sedemikian rupa.


Tetapkan landasan, matlamat betul


Bukankah ini permulaan yang tepat, menetapkan landasan dan matlamat yang benar untuk mencari solusi bagi sebahagian kritik para pemikir dan pendidik yang disebutkan dalam catatan di atas dan kritik-kritik yang telah lama dihumbankan ke atas sistem pendidikan kita?


Sukar saya membaca tulisan-tulisan mereka yang 'taksub' dengan nombor dan peratus pelajar mendapat A, nombor dan peratus pelajar gagal, nombor dan peratus murid tidak ambil peperiksaan SPM lalu terus bungkus dan ikat tepi merumuskan keputusan SPM merupakan bukti kita sedang berada dalam krisis tanpa memberi pemberatan sejujurnya kepada segala sisi kecemerlangan?


Kita memang pernah berada dalam krisis pemaknaan pendidikan apabila kita diasuh belajar semata-mata untuk mengubah status quo keluarga, masuk universiti tujuan untuk dapat kerja yang baik, pilih sahaja kursus di universiti yang nantinya bergaji lumayan. Ini yang sering diperingatkan oleh rata-rata pihak yang dihormati dalam masyarakat samada ketua kampung, guru, pakar motivasi dan jiran tetangga umumnya yang membina set pemikiran anak-anak, paling tidak untuk kami anak-anak di asrama.


Menteri Pendidikan kembalikan halatuju


Dan hari ini saya antara orang yang lega dan gembira apabila Menteri Pendidikan mengembalikan hala tuju sistem pendidikan negara dengan meletakkan 7 teras utama yang menzahirkan dengan teliti keutamaan kita dengan meneruskan kecemerlangan yang ada dan pada masa yang sama memberi penumpuan tinggi contohnya kepada beberapa isu asas seperti kemaskinan.


Kemiskinan multidemensi yang melibatkan pelbagai sisi - miskin nutrisi, miskin ruang pembelajaran dan miskin peranti membuktikan beliau tidak mengabaikan setiap sisi kehidupan pelajar termasuklah pendidikan digital yang menjadi keperluan zaman ini.


Dalam merealisasikan hal tersebut beliau tidak berehat dan bergoyang kaki di pejabatnya tetapi turun padang melihat sendiri keadaan, merasai persekitaran, mengenal pasti prasarana serta mengenali warga pendidikan dengan lebih dekat agar isu komunikasi antara kementerian dan sekolah dapat disantuni. Ya, semua pihak tidak sabar menunggu hasilnya tapi yakinlah. She always walk the talk!


Maka jelas negara kita sedang dalam usaha untuk keluar dari fasa krisis ini. Guru juga pernah berpesan, "we never know where we are heading to till we know how far we have been going." Bukankah ini antara ciri manusiawi yang kita mahukan bagi mencari ruang dan peluang mengatasi krisis pendidikan yang sudah ada sejak 66 tahun kita merdeka?


Hala tujunya jelas dan teguh cuma perencanaan dan pelaksanaannya memerlukan kebijaksanaan dan skema yang realistik, tidak gopoh semata-mata mahu menjadi popular dan disukai tanpa justikasi dan ikut hati.


Angkat martabat pendidikan negara


Setiap pemegang taruh pendidikan, tidak mengira bangsa dan warna kulit mesti mencari titik persamaan dalam mengangkat martabat pendidikan negara kita dan putuskan tali-tali krisis yang telah bersarang lama dengan cermat.


Pesan Ustaz Said Nursi; selagi kita tidak bebaskan diri kita dengan perasaan inginkan kemasyuran dan pujian, mahukan redha manusia berbanding redha Allah maka tidaklah kita akan sampai kepada ikhlas yang menjadikan amal kita diterima.


Marilah kita menjadi warga maya yang bekerja keras dan ikhlas, dalam kapasiti masing-masing bukan untuk jawatan, pangkat, pujian mahupun gaji lumayan kerana yang kita doakan hanyalah barakah berpanjangan, karamah insaniah terzahir dengan anak-anak didik yang elok adab dan akal budinya, ilmu setinggi himmah - keazamannya dan menjadi pewaris bangsa dan negara yang hanya mencintai kebenaran dan mendamba keredhaan Tuhan.


Kesimpulannya, kita pernah berada dalam krisis dan sudah jelas sedang menuju keluar dari fasa krisis tersebut. We are on the right track, Insya Allah.


Tidak perlu panik dan sisipkan kritik wewenang. Kita terus kerja keras dan ikhlas.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page