Sistem pencen ajaran Islam, kenapa tidak beri kepada guru Pasti?
- Suara Keadilan
- Mar 8, 2024
- 2 min read

Kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang bahawa sistem pencen adalah daripada ajaran Islam dan mempersoal cadangan Kerajaan Madani mahu memansuhkan skim berkenaan terhadap kakitangan awam lantikan baharu dipertikai Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia.
Bagi Razeef Rakimin, kenyataan penghapusan sistem pencen kononnya bertentangan dengan agama Islam itu mengelirukan manakala kenyataan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai tidak Islamik amatlah tidak tepat.
"Penjelasan yang beliau beri mengelirukan dan sudah pasti ucapan beliau akan diambil sekerat-sekerat oleh penyokong mereka untuk dijadikan konten Tiktok.
"Sebenarnya cadangan untuk menyemak semula saraan penjawat awam tidak menyentuh penjawat awam sedia ada. Hanya pengambilan penjawat awam baharu diberi kaedah persaraan baharu melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia ada dan lebih untung.
"Hadi juga memberikan gambaran seolah caruman KWSP adalah tidak Islamik, sedangkan KWSP juga satu perlindungan persaraan dan memiliki pilihan simpanan syariah yang kini dilihat kompetitif di bawah kerajaan Madani," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Razeef, sekiranya benar sistem pencen merupakan ajaran Islam seharusnya Pas telah memperjuangkan hal itu dan mewujudkan skim serupa untuk guru tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) kelolaan parti itu ketika mereka menjadi pemerintah dari 2020 hingga 2022 lalu.
"Jika sistem berpencen adalah Islamik, mengapa guru-guru Pasti di bawah seliaan Pas tidak diberikan pencen?
"Malah paling menyedihkan guru-guru ini masih dibayar (gaji) serendah RM500 bergantung kepada yuran yang dibayar ibu bapa dan berbeza mengikut kawasan bandar atau pedalaman.
"Bukan sahaja tidak diberi pencen malah mereka tidak mencarum kepada KWSP serta tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.
"Bukankah ini satu penindasan kepada golongan pendidik yang mana ianya tidak Islamik?" katanya.
Tambah Razeef, Hj Hadi seharusnya bercakap perkara yang pihak beliau atau partinya praktikkan dan bukan perkara yang mereka sendiri tidak pernah amalkan.
"Alangkah lebih baik jika Hadi tidak hanya seperti burung Tiong dan burung Kakak Tua yang hanya tahu bising (mengajuk percakapan) tetapi bukan sahaja tidak memahami, malah tidak melaksanakan apa yang dikata," katanya lagi.
Comments