Sistem 'blockchain' Pemilihan KEADILAN 2025 telus - Dr Zaliha
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sistem pengundian berasaskan teknologi 'blockchain' yang diguna pakai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada Pemilihan KEADILAN 2025 adalah untuk memastikan ketelusan dapat dilaksanakan, sekali gus mengelakkan manipulasi keputusan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) KEADILAN, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya telah cuba melakukan yang terbaik selain memastikan sistem digunakan parti jauh ke hadapan.
''Ini satu-satunya parti yang menggunakan sistem teknologi dalam pemilihan parti untuk memimpin KEADILAN.
''Sistem 'blockchain' ini membantu kita untuk mengurangkan perkara-perkara yang kita bimbangkan sebelum ini,'' katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Aidilfitri bersama Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, malam tadi.
Menurut Dr Zaliha lagi, pada sistem pemilihan kali ini, pihaknya juga telah memasukkan koordinator secara lebih awal.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, ia dilakukan lebih awal agar proses di setiap peringkat seperti pembinaan sistem, proses pencalonan sehingga ke peringkat pemilihan dapat dipantau.
Untuk rekod, kaedah yang digunakan oleh KEADILAN itu memerlukan pengundi dalam talian, mengesahkan identiti mereka dengan mendapatkan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) melalui nombor telefon yang berdaftar seterusnya melalui pengesahan pengecaman wajah.
Untuk pengundi fizikal pula, mereka perlu membawa kad pengenalan ke pusat mengundi dan perlu melalui pengesahan biometrik cap jari bagi pengesahan identiti.
Commentaires