Rombakan kabinet semalam memberi kesempatan kepada pemikiran baharu masuk ke kementerian untuk melakukan perubahan.
Bagi mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia yang kini diberi tugas menjadi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustafa Sakmud, pertukaran beliau itu akan digunakan sebaik baiknya untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan tinggi negara.
"Saya akan teruskan komitmen dan jalankan amanah sebagai Timbalan Menteri sebaik mungkin di Kementerian Pendidikan Tinggi pimpinan Menteri KPT Senator Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
"Sesuai portfolio baharu saya di Kementerian Pendidikan Tinggi, saya akan memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh Kementerian," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mustafa, antara isu yang akan diberi tumpuan adalah menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia yang kini mencapai 10.1%; meminimakan ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh (underempoyment) dan memperkasa sinergi antara akademik dan industri dalam mencapai objektif NIMP, NETR dan Kerangka Ekonomi Madani dengan mendasari silibus akademik yang mengutamakan pendedahan industri sebenar.
"Saya juga akan memastikan bakat mencukupi dalam negara sebagaimana permintaan para pelabur dengan melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi yang kalis masa depan
"Memastikan libat urus antara pelajar dan agensi Kerajaan berjalan dengan baik sebagai pendedahan kepada keperluan semasa
"Juga memastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal," ujarnya.
Selain itu, beliau juga akan mempromosikan kesedaran kesihatan mental dan memperkasa kekuatan emosi dan spiritual pelajar
Termasuk membimbing pelajar dari kalangan miskin tegar dan dari pedalaman untuk menghabiskan pengajian mereka.
"Saya juga akan memperkasa TVET merentas 12 kementerian yang dihubung dengan kolaborasi bersepadu
"Meneruskan inisiatif Jejak TVET Madani bagi menonjolkan graduan TVET IPT berbakat besar dalam perusahaan dan merealisasi hasil inovasi IPT di pasaran secara komersial," katanya lagi.
Selain itu, Mustafa dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peluang beliau menganggotai semula kabinet dan mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Kementerian Sumber Manusia yang begitu komited menjayakan agenda Malaysia Madani selama beliau bertugas sebagai Timbalan Menteri.
Comments