‘Sikap Pas punca anak muda Kelantan berhijrah ke luar’
- Suara Keadilan
- Aug 27, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Keluh kesah rakyat Kelantan terutamanya golongan muda yang mahu mendapatkan peluang pekerjaan di negeri kelahiran sendiri seolah-olah tiada penghujung.
Malah, menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Rantau Panjang, Muhammad Fathi Syahmi Showi, jawapan Kerajaan Negeri terhadap peluang pekerjaan di negeri ‘Serambi Mekah’ itu sebelum ini amat mengecewakan dan tidak mendorong kepada penyelesaian masalah.

"Apa yang saya tahu, Kerajaan Negeri pernah menabur janji kepada rakyat Kelantan sejak 2013 lagi untuk menambah peluang pekerjaan, dan pernah dituntut oleh sebuah NGO tetapi sehingga kini tidak nampak kesan.
"Selain itu, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar pernah mendakwa peluang pekerjaan di negeri itu ada, cuma orang Kelantan sahaja yang tidak mahu bekerja di ladang dan itu boleh dikatakan sebagai alasan (Pas)," katanya kepada Suara Keadilan.

Syahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai program Majlis Pelepasan Peserta Program Penempatan Pekerjaan Industri 2024 yang dibuat Kerajaan Negeri baru baru ini dengan melepaskan anak muda bekerja ke luar negeri, khususnya negeri Pantai Barat Semenanjung.
Kata Syahmi, dasar itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan penghijrahan belia bekerja di negeri musuh politik Pas sudah menjadi kebiasaan.
"Berkaitan dengan hantar anak muda ke negeri Kerajaan Perpaduan, anak muda Kelantan terpaksa ambil inisiatif sendiri untuk menyelesaikan masalah kewangan masing-masing.
"Ini sudah menjadi budaya selama tiga generasi rakyat Kelantan dan tidak menganggap ini sebagai masalah yang besar, malah dari kecil lagi pun kami seolah-olah sudah tahu perlu bekerja ke luar Kelantan," ujarnya.
Dalam pada itu, Syahmi juga berpandangan isu peluang pekerjaan bukanlah sesuatu yang mahu diselesaikan Kerajaan Negeri memandangkan Pas masih selesa dengan majoriti kerusi DUN yang dimenangi sejak 1990.
"Kerajaan Pas selesa dengan kedudukan sekarang dan saya rasa mereka tidak akan mengambil inisiatif untuk tambah peluang pekerjaan dan hanya mengharapkan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan perkara tersebut secara tak langsung," ujarnya lagi.
留言