
Sifat pemaaf amat dituntut dalam ajaran Islam untuk diamalkan oleh seseorang muslim.
Bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunaikan solat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah merasakan Khutbah Aidilfitri yang disampaikan oleh khatib Sahibus Samahah Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah bertajuk “Berdamai Dalam Dakapan Syawal”, amat tepat ditujukan kepada umat muslim yang merayakan Aidilfitri hari ini.
Katanya, khatib antara lain mengungkap hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
'Allah tidak menambahkan kepada seorang hamba dengan suatu kemaafan melainkan kemuliaan.'
"Hadis ini sarat dengan mesej yang menggambarkan sifat pemaaf bukan tanda kelemahan.
"Sebaliknya ia merupakan jalan menuju kemuliaan dan kehormatan di sisi Allah SWT dan manusia," katanya dalam muat naik di Facebook.
Tegas Anwar, seseorang yang memilih untuk memaafkan, Allah akan menggantikannya dengan kemuliaan, baik di dunia mahupun di akhirat.
Justeru, beliau berharap pada hari mulia dan berbahagia ini umat Islam Malaysia akan saling bermaafan dan merangkul persaudaraan serta kasih sayang dalam mengangkat kemuliaan insan.
Comments