Warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan permit kerja tidak dibenarkan berniaga.
Namun hal itu ditemui di banyak kawasan di Selangor, tidak terkecuali DUN Meru.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (PH - Meru) mencadangkan tindakan lebih tegas diambil ke atas warga asing yang berniaga dalam sesi membahas ucapan Menteri Besar berkenaan Rancangan Selangor 1 dalam sidang DUN Selangor, semalam.
"Rancangan Selangor 1 banyak berkisar pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi kita bimbang peluang yang ada ini akan diisi warga asing.
"Sebagai contoh hari ini kita lihat isu warga asing tidak dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa kerana bidang kuasa kita terbatas dan penguatkuasaan kita amat lemah.
"Sebagai contoh di DUN saya, Meru menjadi tumpuan warga asing berniaga. Berkali kali pihak Majlis Perbandaran Kelang mengadakan operasi sitaan dan sebagainya tetapi tidak memberi kesan. Pagi buat sitaan, petang mereka buka balik perniagaan.
"Penguatkuasaan tidak kita gunakan secara maksimum," katanya.
Fahkrulrazi menyarankan agar peniaga haram bukan sahaja dikompaun tetapi hukuman lebih tegas dikenakan termasuk sitaan dan sebagainya.
"Saya memberi cadangan kepada peniaga haram ini bukan sahaja kompaun atau sitaan tetapi kita juga ada kuasa menyita premis dan tanah yang disalahgunakan.
"Kita tengok pasar pasar di Meru, Serdang dikuasai oleh Bangladesh, Rohingya. Malah mereka bertanggapan itu tempat mereka. Kita lihat di media baru ini, bila serbuan dibuat mereka berpiket, mereka kata hak mereka," katanya lagi.
Tambah beliau, peluang perniagaan sepatutnya hanya diisi oleh warga tempatan untuk meningkatkan ekonomi rakyat Selangor.
Commentaires