
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dalam siasatan siasatan terkait Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi satu kenyataan pada Ahad, SPRM memaklumkan pihaknya turut merampas 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
"Hasil risikan serta siasatan lanjut terhadap empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri tersebut yang ditahan sebelum ini, SPRM telah menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai 'safehouse'.
"Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuatkuasa.
"SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri ditahan SPRM bagi membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran beliau.
Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas turut ditahan oleh agensi anti rasuah itu.
Sementara itu menurut SPRM, pihaknya sudah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Ismail Sabri juga berkemungkinan akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya, selepas hadir untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu.
"Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
"Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," ujarnya.
Comentarios