top of page

Siasat segera pempengaruh tuduh PMX akan mendaruratkan negara



Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat segera pempengaruh yang mendakwa Perdana Menteri (PM) akan mendaruratkan negara bagi mengelakkan Kerajaan Perpaduan runtuh.


Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Shahbudin Embon (gambar atas, tengah) berkata, tindakan seorang pempengaruh yang mempopularkan teori keruntuhan kerajaannya dalam beberapa hari kebelakangan ini amat merbahaya.


Katanya, pempengaruh tersebut meramalkan kerajaan akan jatuh sebaik sahaja Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hilang kuasa dan blok politik dari Sabah serta Sarawak akan menarik sokongan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) pada bulan Ogos ini.


"Kalau kita dengar dari TikTok pempengaruh ini, dia mengatakan bahawa Presiden UMNO, Zahid Hamidi akan hilang jawatan. Disebabkan Zahid hilang jawatan dan pengaruh dalam UMNO maka PM tidak ada lagi sokongan UMNO.


"Di situ beliau meramalkan bahawa PMX tidak ada pilihan melainkan menghadap Agong dan mengadakan darurat.


"Kedua, beliau mengatakan bahawa PMX telah membelakangkan Sabah dan Sarawak berkaitan dengan (perjanjian) sempadan bertindih di Ambalat (blok pengeluaran petroleum yang dituntut Indonesia)


"Disebabkan itu maka Sabah Sarawak akan menarik sokongan daripada PM. Beliau kata PMX menghadapi banyak masalah dan mesej beliau dalam video ini amat merbahaya," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur usai membuat laporan polis pada tengah hari tadi.


Laporan polis yang dibuat di balai Chow Kit itu dan dilihat Suara Keadilan menyatakan pelapor Shahbuddin Embon telah melihat satu akaun TikTok yang memaparkan video, "Pesanan dari Sir Azri (Papagomo)".


Dalam laporan itu, Shahbudin menegaskan kenyataan di TikTok tersebut mengandungi mesej perkauman apabila menuduh PMX akan memainkan isu Melayu, Cina dan India.


PMX juga akan berbuat apa sahaja demi menyelamatkan kuasa yang diramal akan berakhir pada bulan Ogos ini.


"Dia menambah PMX akan mendaruratkan negara. Tuduhan ini amat tidak bertanggungjawab.


"Saya memohon pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak segera atas TikTok yang merbahaya kepada negara ini dan digunakan secara yang tidak bertanggungjawab," tambah Shahbudin dalam sidang media itu.



Selain menggunakan akta biasa, Shahbudin juga mencadangkan agar pihak polis menggunakan Akta Hasutan kerana sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta tersebut, katanya boleh ditahan selama 28 hari.


Beliau juga mahu golongan yang cuba mencetuskan huru hara disiasat di bawah Sosma untuk memudahkan tindakan diambil.


Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan yang juga timbalan pengerusi sekretariat, Mejar (B) Razali Zakaria (gambar bawah, dua dari kanan) berkata, implikasi terhadap fitnah yang dirancang penyokong pembangkang tersebut amat bahaya.


Katanya, pembangkang telah pun membuat beberapa himpunan yang kurang mendapat sambutan di Permatang Pauh, Tambun dan Kuala Lumpur.


Maka, katanya, laskar siber mereka kali ini cuba mencetuskan isu lebih besar supaya lebih banyak rakyat akan turun berhimpun.


"Ini sangat bahaya. Kalau tak bendung sekarang rakyat akan percaya (isi kandungan video fitnah).


"Kita sekarang aman damai tetapi bila dicetuskan isu porak peranda rakyat (seperti ini), adakah kita mahu jadi macam Bangladesh (rusuhan)? Adakah kita nak negara kita macam itu?


"Kita tahu benda itu ada, dan kita cegah. Kalau dah sampai besar (kesan fitnah), tidak boleh buat apa," katanya lagi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page