Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menggesa pihak berkuasa agar menyiasat beberapa projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang didakwa gagal dilaksanakan di negeri itu dari tahun 2010 hingga 2015.
Pengarah Komunikasi AMK Sabah, Fekirie Gobet mendakwa, projek di bawah KKLW itu mempunyai ketirisan berjumlah RM1.5 bilion.
"Ketirisan ini menyebabkan pembangunan infrastruktur negeri Sabah terutamanya bekalan elektrik, air dan jalan raya terencat.
"Dalam kenyataan tersebut juga ada menyebut tentang kegagalan loji bekalan air di Semporna yang menelan kerugian kos sebanyak RM45 juta wang rakyat.
"Loji tersebut adalah Loji Air Sungai Intan yang gagal memenuhi keperluan penduduk akibat lokasi pembinaan di kawasan air cetek, menjadikannya tidak dapat berfungsi sepenuhnya terutama pada musim kemarau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fekirie lagi, pihaknya turut mengambil maklum laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 2017 berhubung kegagalan Projek Sistem Agihan Air Pulau Gaya yang dihentikan Kerajaan Sabah atas alasan status pendudukan tanah yang tidak sah.
Ujarnya, pendedahan itu jelas menunjukkan kelemahan perancangan, termasuk tiada kajian awal dan penilaian mendalam sehingga mengakibatkan pembaziran dana rakyat.
"Persoalannya mengapa projek yang dianggarkan bernilai RM93 juta itu dibuat secara tergesa-gesa?
"Kedua-dua isu ini mencerminkan kelemahan serius dalam perancangan dan pelaksanaan projek bekalan air di Sabah.
"Ini tidak termasuk aduan kegagalan projek bekalan elektrik dan jalan raya termasuk pembaziran RM22.5 juta bagi membina jalan raya sejauh lapan kilometer yang diberi jolokan 'Jalan Monyet'," katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan beberapa bentuk 'sindiran' yang sering diucapkan ketika zaman KKLW iaitu di bawah pentadbiran Ahli Parlimen Semporna.
"Sindiran itu adalah seperti 'ada tiang tapi tiada elektrik, ada paip dan tangki tapi tiada air, ada jalanraya tapi tidak tahu di mana', yang sangat terkenal di negeri Sabah.
"Kami berpandangan kes ketirisan RM1.5 bilion ini perlu dinilai semula kerana ia membabitkan wang rakyat yang sepatutnya digunakan bagi membangunkan infrastruktur kemudahan rakyat, namun diseleweng pihak tidak bertanggungjawab.
"Tidak ada pihak yang patut terlepas selepas mengakibatkan kerugian bukan sahaja dari jumlah peruntukan, malah kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati rakyat dinafikan oleh mereka yang menyebabkan ketirisan," katanya.
Comments