Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN Sabah membuat laporan polis bagi menyiasat Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa terlibat mahu menjatuhkan Kerajaan MADANI.
Ketuanya, Zaidi Jatik yang juga Ketua AMK Cabang Kota Marudu berkata, hal itu susulan pendedahan oleh seorang penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa terdapat gerakan bersungguh-sungguh beberapa Ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.
"Gerakan “Langkah Dubai” ini jelas satu tindakan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja mengganggu gugat sistem demokrasi berparlimen.
"Malah (ia dilihat) sia-sia kerana Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan, menghalang sebarang usaha menukar Perdana Menteri dan kerajaan di pertengahan pentadbiran," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zaidi, beliau yakin gerakan ini telah dimulakan oleh beberapa orang Ahli Parlimen termasuk pimpinan pembangkang yang tidak bertanggungjawab.
"Tindakan mereka hakikatnya boleh memudaratkan demokrasi berparlimen, menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam. Cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara mesti digagalkan.
"Justeru, saya telah meminta pihak Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat gerakan ini yang sangat jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan," ujarnya lagi.
Comentários