![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_105b9cd24da847a2b658726f7404bbf4~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_446,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_105b9cd24da847a2b658726f7404bbf4~mv2.jpg)
Banjir yang akan melanda pada bulan November ini memerlukan sukarelawan untuk menyelamatkan mangsa.
Sehubungan itu, KEADILAN mula menerima pendaftaran sukarelawan secara atas talian untuk berkhidmat sepanjang musim tengkujuh.
Menurut Setiausaha Sukarelawan KEADILAN, Yuslaini Azmi, sukarelawan tersebut akan ditempatkan di kawasan berisiko, terutama apabila kerajaan memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 secara meredah banjir pada kali ini.
"Baru-baru ini KEADILAN telah melancarkan satu pasukan Sukarelawan KEADILAN supaya dapat menggerakkan seluruh kekuatan yang kami ada dengan sistematik bagi menghulurkan bantuan di kawasan-kawasan yang berkemungkinan menghadapi banjir.
"Malah, pasukan juga kini telah ditubuhkan di setiap negeri bagi menghadapi banjir luar jangka bermula dari sekarang.
"Saya kesal dengan tindakan ahli politik kita hari ini yang sengaja mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan peribadi. Pembubaran Parlimen bukanlah sesuatu yang perlu diberi keutamaan sebaliknya fokus tentang masalah rakyat yang makin tertekan dengan situasi ekonomi semasa yang kian meruncing.
"Pada pendapat saya, pilihan raya ini bukan satu keputusan yang bijak malah akan membangkitkan lagi kemarahan rakyat. Namun begitu, kami di barisan pembangkang akan tetap bersedia dengan segala kemungkinan dan akan terus bersuara tentang hak-hak rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Yuslaini menjemput rakyat Malaysia untuk menjadi sukarelawan demi menyelamatkan nyawa manusia yang lebih berharga daripada kekuasaan politik.
"Di kesempatan ini, saya juga ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia sama-sama membantu dan menjadi anggota sukarelawan KEADILAN di laman web kami sukarelawankeadilan.org.
"Inisiatif ini bukan sahaja untuk menghadapi isu banjir malah isu-isu bencana luar jangka dalam negara kita. Semoga inisiatif ini dapat menarik lebih ramai sukarelawan untuk membantu sesama kita," katanya lagi.
Comments