Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang mengatakan parti itu lebih layak memimpin Perikatan Nasional (PN), sekali gus menolak cadangan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon Perdana Menteri (PM) gabungan terbabit menggambarkan perpecahan ketara dalam blok pembangkang.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Chua Wei Kiat menyifatkan kenyataan sedemikian bukan hanya melemahkan kepimpinan Muhyiddin tetapi menunjukkan tidak wujudnya saling mempercayai di antara pemimpin parti komponen dalam PN.
Lebih parah daripada itu, kata Wei Kiat, siapa pun calon PM yang dicadangkan mereka, individu itu tidak akan menandingi karisma PM sedia ada kerana pemimpin PN tidak berkaliber untuk mentadbir negara.
"Jika Pas menolak Muhyiddin, adakah mereka mempunyai calon alternatif yang berwibawa dan layak untuk mentadbir negara?
"Atau adakah kenyataan ini hanya membuktikan bahawa PN sebenarnya tidak mempunyai sesiapa yang berkaliber untuk diangkat sebagai pemimpin negara?
"Lebih bermasalah apabila terdapat dakwaan bahawa PN cuba menarik Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menawarkan jawatan PM kepada individu dari BN.
"Taktik sebegitu hanya menunjukkan bahawa PN tidak mampu melahirkan pemimpin dalam kalangan mereka sendiri. Ini adalah bukti jelas bahawa PN sedang berada dalam keadaan terdesak," katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang menyifatkan ketidakmampuan PN untuk menyelesaikan isu dalaman menimbulkan persoalan besar tentang keupayaan mereka untuk memikirkan dasar dasar besar yang boleh menarik pelaburan masuk sebagaimana dilakukan Kerajaan Perpaduan.
"Jika mereka tidak dapat menyatukan parti-parti komponen mereka sendiri, bagaimana mereka boleh diharapkan untuk memimpin negara dengan stabil dan berkesan?
"Sebaliknya Kerajaan Perpaduan terus menunjukkan komitmen untuk membangunkan negara dan memperjuangkan kebajikan rakyat," ujarnya.
Tambah beliau, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai rangka dasar progresif dapat dilihat dalam usaha merancakkan ekonomi, meningkatkan kebajikan sosial, dan membina masa depan yang mampan untuk semua rakyat.
"(Justeru) saya menyeru kepada rakyat di negara ini untuk menilai kepimpinan PN secara kritikal. Perpecahan yang berlaku dalam gabungan tersebut membuktikan bahawa mereka tidak mampu menawarkan kestabilan mahupun hala tuju yang jelas untuk negara.
"Rakyat tidak boleh terperangkap dalam permainan politik yang hanya mementingkan perebutan kuasa tanpa memikirkan masa depan negara," katanya dalam kenyataan sama.
Comments