Shamsul Iskandar kembali, Adam Adli kurang bernasib baik di Hang Tuah Jaya
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Pemilihan KEADILAN 2025 bagi negeri Melaka yang dianggap sengit di Cabang Hang Tuah Jaya menyaksikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menentang ketua cabang sebelum ini, Rafee Ibrahim telah diketahui keputusannya.
Shamsul berjaya menewaskan Rafee dalam percubaan kali kedua selepas kalah kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka itu pada Pemilihan 2022.
Manakala pada cabang sama, calon popular Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim tewas kepada Zamzizul Nordin dalam persaingan jawatan timbalan ketua cabang.
Pengarah Kempen Shamsul, Farhan Ibrahim berkata kemenangan itu ibarat 'sirih pulang ke gagang' kerana Shamsul pernah menjadi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya sebelum ini.
"Kemenangan ini ibarat sirih pulang ke gagang. Datuk Seri Shamsul bukan nama asing di Hang Tuah Jaya. Selain pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan ini, beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Industri Utama dan mengetuai Cabang KEADILAN Jasin sejak tahun 2004," katanya dipetik suara tv.
Sementara itu Adam Adli dalam muat naik di aplikasi X selepas keputusan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) merakamkan ucapan terima kasih kepada Rafee Ibrahim kerana menerimanya sebagai gandingan beliau dalam pemilihan kali ini.

"Penghargaan buat semua teman sepasukan termasuk sayap AMK dan Wanita atas komitmen dan semangat pertandingan yang tinggi.
"Terima kasih kepada semua anggota akar umbi yang telah memberikan sokongan buat kami. Setiap sokongan anda adalah bekalan semangat buat kami sepasukan.
"Tentu sekali tahniah kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar dan pasukannya yang telah mengungguli pemilihan Cabang Hang Tuah Jaya kali ini," katanya.
Adam berharap pemilihan KEADILAN 2025 yang melabuhkan tirai akan kembali menguatkan pasukan KEADILAN untuk menghadapi cabaran Pilihan Raya Negeri Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum yang akan berlangsung kurang tiga tahun dairpada sekarang.
"Biduk lalu kiambang bertaut. Andai ada salah dan silap sepanjang tempoh pemilihan kali ini, bersama kita saling memaafkan.
"Kekalkan semangat perjuangan, setiakawan, dan persaudaraan sesama kita, keluarga besar KEADILAN," katanya lagi.
Commentaires