Oleh: Akmal Manaf
Cakna dengan nasib menimpa 260 mangsa kebakaran di Kampung Jati Batu 5, Jalan Apas Tawau, Sabah, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terlibat.
Sumbangan tersebut disampaikan menerusi Setiausaha Politik beliau, Datuk Azman Abidin (gambar, tiga dari kiri) yang menyantuni mangsa sambil diiringi Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah, Junaidah Makku bersama Jawatankuasa Majlis Pimpinan Wanita Negeri Sabah.
"Syabas kepada saudara Fung Thin Yein, Ketua Cabang KEADILAN Tawau atas usaha pantas beliau bersama rakan-rakan seperjuangan dalam mengaturkan program untuk menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
"Diharapkan bantuan daripada peruntukan khas Datuk Seri Anwar ini sedikit sebanyak meringankan beban yang dihadapi 260 mangsa terlibat.
"Salam takziah juga buat semua keluarga yang terlibat, termasuk seorang anak lelaki berumur lima tahun yang rentung dalam kejadian tersebut," menurut satu kenyataan.
Turut hadir menzahirkan empati adalah Ketua Cabang Tawau, Fung Thin Yein; ADUN Kajang merangkap Majlis Pimpinan Pusat, David Cheong; Ketua Cabang Kudat, Stefly Said dan Naib Ketua Cabang Penampang, Eldridge Laurence Timis.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ketua Kampung, Wakil Ketua Anak Negeri, Jabatan Penerangan Tawau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta barisan Jawatankuasa Cabang Tawau turut hadir dalam program berkenaan.
コメント