PRK: Setelah isu ladang khinzir gagal, Pas guna 'fatwa' pergi haji?
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Di saat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning sedang berlangsung, Pas terus menjadi bahan kecaman apabila Presidennya mengeluarkan kenyataan mengaitkan dunia politik tanah air dengan penangguhan ibadah haji dan umrah, baru-baru ini.
Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata, dalam kempen PRK di negeri itu, rakyat dapat menyaksikan bagaimana Pas terus memainkan politik terdesak.
''Setelah isu ladang babi gagal meraih simpati malah memakan diri sendiri apabila kegagalan dua bekas Exco mereka iaitu Razman Zakaria dan Akmal Kamaruddin mengurus isu ini terdedah satu demi satu, mereka kembali kepada taktik lama iaitu menjual agama demi undi.
''Lebih membimbangkan, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) secara terbuka mendahulukan kemenangan pilihanraya mengatasi ibadah haji, rukun Islam kelima yang diwajibkan kepada setiap muslim yang mampu.

''Kenyataan seperti ini bukan sahaja menyesatkan, tetapi menunjukkan bagaimana agama terus dijadikan bahan kempen apabila parti mula kehilangan arah,'' tempelak beliau menerusi satu kenyataan.
Malah ujar Khairol, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan penjelasan rasmi bahawa ibadah haji adalah tuntutan agama yang tidak boleh dikompromi demi agenda politik.
Dakwanya, jurucakap Pas untuk PRK kali ini iaitu Datuk Idris Ahmad gagal membawa isu yang benar-benar menyentuh hati pengundi sebaliknya ‘menelanjangkan’ kegagalan sahabat-sahabat.
Katanya setelah semua modal tidak menjadi, mereka kini terpaksa menggunakan talian hayat terakhir, 'fatwa' daripada Presiden, Hadi Awang.
''Inilah realiti politik Pas yang rakyat semakin sedar. Bila isu gagal, 'fatwa baharu' akan muncul. Bila kalah hujah, agama dijadikan perisai.
''Bila terdesak, rukun Islam pun sanggup diketepikan. Kami menyeru kepada semua umat Islam, tanpa mengira parti, agar tidak terpedaya dengan pendekatan seperti ini.
''Jika telah dijadualkan untuk menunaikan haji, teruskanlah dengan yakin dan ikhlas.
''Jangan gadaikan seruan Allah kerana takut kalah pilihanraya. Undi boleh datang lagi, tetapi panggilan Allah ke Tanah Suci belum tentu datang kali kedua,'' katanya lagi.
Comentarios