Lebih dua dekad telah berlalu, jerih perih perjuangan terjawab sudah, Bapa Reformasi telah diangkat sebagai Perdana Menteri ke 10, lalu timbul persoalan untuk apa reformasi?
Hal itu ditanyakan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Himpunan Keadilan, Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
"Kita sentiasa harus bertanya, untuk apa ribuan dipukul? Untuk apa ratusan dipenjara? Untuk apa kita bangkit, kena belasah?
"Untuk apa kita dibuang kerja? Siksa ... isteri, anak anak, liku perjuagan puluhan tahun. Sekali lagi kita tanya untuk apa?
"...... untuk memberi makna apa itu merdeka dan kebebasan bagi rakyat. Untuk hentikan amalan keangkuhan dan kesombongan yang berlaku," kata tokoh reformasi itu di hadapan kira kira 20,000 hadirin yang memenuhi stadium.
Menurut Anwar, kerajaan yang dipimpinnya sedaya upaya melakukan reformasi institusi dan memenuhi janji perobahan yang dibuat selama 26 tahun lalu.
"Kita telah berkuasa hampir dua tahun, Alhamdulillah. Dengan penuh tawaduk saya katakan kita buat sedaya upaya kita. Apakah kita selesai semua masalah, tidak.
"(Namun) kita rombak sistem pemerintahan. Siapa jadi Menteri bukan kerjanya memperkayakan diri dan keluarga mereka," ujar Anwar.
Dalam pada itu, beliau begitu terkilan dengan tindakan pemimpin pembangkang terutamanya dari Pas yang pada awal reformasi merupakan pendukung kuat perjuangan melawan kezaliman pemerintah. Kini, katanya, mereka telah berpaling menyokong beberapa kerat pemimpin zalim yang ditentang pada 1998 lalu.
"Pembangkang tidak ada modal. Paling tidak (modal politik) bekas banduan jadi Perdana Menteri. Ya, saya bekas banduan. Tetapi banduan terhormat .... dengan tuduhan zalim dan keji.
"Dulu kamu dan bapa kamu, pemimpin Pas, antara yang pertama pertahankan kami dan menolak fitnah itu. Sekarang anak anak mereka yang jahil sejarah jadi pekakas kepada orang pencuri harta, sekarang (penyakau tua) mahu jadi jaguh. Malu kamu.
"Bapa kamu pejuang besar seperti Almarhum Fadzil Noor. Ulama besar seperti Tok Guru Nik Aziz. Imam besar seperti Taib Azamudeen. Orang orang ini yang pertahankan banduan ini.
"Kerana mereka tahu hukum, mereka tahu Islam. Mereka tahu apa fitnah, tahu sang saka tua zalim menindas rakyat. Mereka tahu bagaimana bilion ringgit perkayakan kelompok mereka (saka tua). Itu pendirian pemimpin lalu
"Bagaimana pendirian pemimpin sekarang? Sokong penyakau, perompak, tak berani sebut bagaimana Menteri dahulu punya kekayaan berbilion, mana suara mereka?" katanya.
Walau apa pun yang dikatakan pembangkang, kata Anwar, beliau tetap akan memenuhi janji sejak pertama kali reformasi dilaungkan 26 tahun lalu.
Beliau sedikitnya berpuas hati kerana selama hampir dua tahun memegang kuasa tidak ada satu pun tender diizinkan disakau oleh mana mana pemimpin negara ini.
Dibanding, katanya, dua tahun Perikatan Nasional memerintah pelbagai salah laku terjadi, guna sentimen Melayu dan Islam untuk menyakau pelbagai tender dan projek.
Comments