Serangan pengganas bersenjata api ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi mengejutkan seluruh negara.
Bagi Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (gambar, tengah), perkara yang paling mengejutkan adalah wujudnya entiti pengganas yang melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan biar pun Malaysia bukan dalam kalangan negara yang berada dalam kategori menghadapi ancaman keselamatan sedemikian.
Sehubungan itu, beliau berharap tahap keselamatan akan diperketatkan selepas ini.
"Saya merakamkan ucapan takziah dan bersimpati kepada keluarga dua anggota polis yang meninggal dunia, seorang anggota polis yang cedera dan seluruh warga perkhidmatan polis dalam insiden serangan kumpulan ekstremis ke atas Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi.
"Dalam masa terdekat ini, saya akan salurkan bantuan awal kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.
"Pasca insiden serangan ini, saya yakin seluruh rakyat Malaysia bimbang dengan keberadaan kumpulan ekstremis yang dipercayai wujud di kawasan Tiram.
"Justeru itu, saya menggesa supaya pihak polis dapat tingkatkan kawalan keselamatan, jalankan siasatan segera dan ambil tindakan tegas bagi mengekang aktiviti ekstremis daripada berkembang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Jimmy Puah juga akan menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sesegera mungkin bagi membincang dan memberi cadangan mengenai kaedah untuk mengetatkan keselamatan di setiap balai polis di kawasan parlimen beliau.
"Dalam masa yang sama saya akan berikhtiar bertemu dengan Datuk Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri bagi membawa cadangan untuk menaik taraf sistem keselamatan di setiap balai polis dalam kawasan Parlimen Tebrau, khususnya di kawasan-kawasan yang dikenalpasti kritikal.
"Insiden serangan ini merupakan satu detik hitam buat negara dan saya berharap ianya tidak akan berulang lagi pada masa hadapan. Sekali lagi, ucapan takziah buat keluarga mangsa," katanya.
Dalam serangan jam 2.54 pagi tadi, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.
Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.
Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.
Kommentare