Serangan berterusan tentera rejim Israel ke atas negara Timur Tengah seperti Lebanon, Syria dan Yaman dikecam keras Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK).
Menurut Ahli Majlis Pimpinan AMK, Nadia Nazri, tindakan zalim rejim itu bukan sahaja merupakan pencabulan hak kedaulatan ke atas negara-negara tersebut tetapi juga memperburukkan lagi ketegangan di rantau Timur Tengah.
"AMK menyeru agar Israel segera menghentikan serangan ini dan menghormati hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
"AMK berdiri teguh menyokong rakyat Palestin yang terus dizalimi di Gaza dan Tebing Barat.
"Pencerobohan Israel ini dilihat sebagai usaha terancang yang disengajakan untuk mengalihkan tumpuan dunia daripada kekejaman dan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Nadia, serangan tersebut hanyalah strategi pemimpin utama Israel untuk kekal berkuasa berdepan ancaman politik dan undang-undang, tanpa mengambil kira ribuan nyawa yang tidak bersalah terkorban demi kepentingan politik peribadi pemimpin berkenaan.
Selain itu, AMK juga mengecam sikap hipokrasi tahap tinggi pemimpin barat yang menutup mata dan berdiam diri ketika puluhan ribu rakyat Gaza dan Tebing Barat dibunuh dan dizalimi, tetapi lantang bersuara soal keamanan apabila pengkalan tentera Israel diserang oleh peluru berpandu Iran.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dalam pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin (sebelum ini), menyuarakan dengan jelas pendirian Malaysia yang menolak sebarang bentuk keganasan, pencerobohan haram serta menyeru pihak-pihak yang terlibat untuk segera mengurangkan permusuhan demi mencegah konflik yang lebih luas.
"AMK menyokong penuh cadangan Menteri Luar Negeri Malaysia bagi menubuhkan semula Jawatankuasa Khas PBB Menentang Apartheid yang dibawakan dalam Perbahassn Umum Perhimpunan Agung PBB.
"Jawatankuasa Khas ini sewajarnya memainkan peranan penting dalam usaha global baharu untuk memerangi ketidakadilan dan menegakkan keadilan, khususnya hak rakyat Palestin untuk hidup bebas dari penindasan," katanya lagi.
Sehubungan itu, Nadia berkata, AMK Malaysia bersolidariti bersama negara-negara yang dizalimi. Keamanan sejagat, katanya, hanya dapat dicapai apabila keadilan ditegakkan dan hak asasi manusia dihormati.
Comments