Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus mengambil langkah dan tindakan sewajarnya bagi membendung fahaman ekstrem yang dibimbangi boleh mengancam keamanan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor bukti jelas betapa bahayanya tindakan kafir mengkafir dan mendakwa akidah orang lain tidak sempurna.
Jelasnya, berdasarkan soal siasat dengan suspek insiden serangan itu, suspek menganggap mereka yang bersolat di masjid kerajaan dan bersekolah di sekolah kerajaan sebagai kafir.
"Penyerang dan adik-beradiknya tidak pergi sekolah sebab sekolah kerajaan (didakwa) kafir. Apabila ada kefahaman begitu, dia anggap akidah dia saja sempurna, orang lain sebagai kafir, maka tidak pelik keluarga ini mewajarkan tindakan sedemikian.
"Keadaan ini harus kita bendung. Perbuatan kafir mengkafir sangat berbahaya dalam kehidupan kita," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai apakah usaha kerajaan untuk menangkis ancaman bentuk baharu keganasan yang wujud dalam negara.
Selain itu, bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai susulan insiden Balai Polis Ulu Tiram, Saifuddin berkata, PDRM akan memperketat keselamatan di balai polis sebagai persiapan kejadian pencerobohan atau tindakan luar jangka ke atas balai polis.
Selain itu, katanya, PDRM juga memperketat semua prosedur operasi standard (SOP) dalaman bagi mempertingkat kawalan keselamatan premis PDRM, merangkumi pentadbiran semasa yang berkaitan dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.
Comentários