Serangan ganas ke atas Balai Polis di Ulu Tiram, Johor kelmarin tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia biar pun siasatan awal polis mendapati suspek yang membunuh dua anggota polis tersebut bertindak sendirian dan tidak mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan kejadian itu sebagai serangan terancang pengganas.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, walau apa pun situasinya tindakan keganasan tidak boleh diterima apatah lagi dilakukan oleh seorang Islam ke atas orang Islam yang lain.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak polis bertindak lebih tegas menghadapi ancaman keganasan di negara ini.
"Segala bentuk pelampauan agama dan juga keganasan tidak diterima oleh masyarakat majmuk di Malaysia
"KEADILAN Kemaman minta kerajaan bertindak dengan lebih tegas dan menyeru semua lapisan masyarakat menolak semua bentuk keganasan seperti ini," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Nadhir dalam pada itu mengucapkan takziah bagi pihak KEADILAN Kemaman ke atas keluarga dua anggota polis yang terkorban dan melahirkan rasa simpati ke atas seorang lagi yang tercedera dan masih dirawat di hospital.
Dalam kejadian kelmarin, suspek yang melakukan serangan ditembak mati di lokasi kejadian.
Ketua Polis Negara mengesahkan suspek dipercayai telah membuat persediaan rapi untuk menyerang balai polis tersebut berdasarkan beg suspek yang mengandungi zink, kain dan kertas yang digunakannya sebagai perisai semasa berbalas tembak dengan anggota polis.
Setakat ini PDRM telah menahan tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek bagi membantu siasatan.
Comments