Oleh: Abdullah Zaid
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menasihatkan pembangkang Perikatan Nasional (PN) tidak menjadi hero dalam keputusan Speaker Dewan Rakyat mengekalkan enam bekas Ahli Parlimen menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai anggota Dewan Rakyat.
Sedangkan kata Fahmi, Ahli Parlimen Bersatu adalah pihak yang membantah pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti secara menyeluruh sebelum ini.
Sehubungan itu, Fahmi menyeru sebarang keputusan dibuat oleh Tan Sri Johari Abdul perlu diterima dengan berlapang dada.
Kritikan, katanya, seharusnya ditujukan kepada pemimpin Bersatu yang tidak melakukan pindaan perlembagaan parti menghalang lompat parti seperti KEADILAN, UMNO dan DAP sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
"Apa saya boleh kata, senjata makan tuan. Kalau mereka hendak salahkan sesiapa, salahkan Tan Sri Muhyiddin, Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan Radzi (Datuk Dr Radzi Jidin).
"Tanya siapa yang paling tidak mahu pindaan yang menyeluruh, jadi jangan sekarang hendak tunjuk hero," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Terdahulu pada Rabu, Muhyiddin mengesahkan parti itu menerima surat daripada Speaker pada lewat petang yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Enam Ahli Parlimen yang terlibat adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Comentarios