
Malaysia melangkah memasuki gelombang kedua industri semikonduktor melalui kerjasama dengan firma reka bentuk perisian dari United Kingdom, Arm Holdings Plc bagi menerajui pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) tempatan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu merupakan peralihan asas dalam pendekatan negara ini terhadap sektor semikonduktor dan teknologi yang akan menentukan masa depan selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan tahun lalu.
"Melalui perkongsian komprehensif dengan Arm, kita telah merangka salah satu pelan teknologi paling bercita-cita tinggi yang pernah diusahakan oleh Malaysia untuk menerajui pembangunan cip AI buatan Malaysia.
"Cip ini akan direka bentuk, dikilangkan, diuji, dan dipasang di Malaysia, serta dieksport ke seluruh dunia," katanya ketika berucap melancarkan Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Arm turut akan menubuhkan pejabat pertama ASEAN di Kuala Lumpur selain menawarkan teknologi canggih merangkumi semua aspek reka bentuk semikonduktor.
"Pejabat ini bertujuan untuk memperluaskan jangkauan ke pasaran ASEAN, Australia, dan New Zealand. Saya amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan tertinggi Arm terhadap negara kita," ujarnya.
Perdana Menteri berkata perkongsian dengan Arm melibatkan tiga elemen utama iaitu mewujudkan program latihan komprehensif bagi melahirkan 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), sekali gus membina bakat tempatan dalam industri semikonduktor.
"Kedua, syarikat Malaysia terpilih akan mendapat akses istimewa kepada teknologi dan portfolio harta intelek (IP) canggih milik Arm.
"Ketiga, ia akan memacu pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan, sejajar dengan matlamat negara untuk menghasilkan cip yang lebih maju di Malaysia," kata beliau.
Terdahulu Anwar berkata kerajaan membawa aspirasi lebih besar apabila melancarkan NSS pada tahun lalu, mewakili perubahan asas — menaik taraf Malaysia daripada sekadar hab pengeluaran kepada peneraju dalam aktiviti semikonduktor bernilai tinggi.
Di luar peringkat pemasangan dan ujian, beliau berkata NSS memberi keutamaan kepada reka bentuk IC, peralatan pembuatan semikonduktor, pembungkusan maju, serta proses huluan, sekali gus memperluaskan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
"Kerajaan telah menjadikan industri semikonduktor sebagai keutamaan negara, dengan komitmen sumber yang besar serta strategi yang tersusun dan jangka panjang untuk mendorong transformasi ini," katanya.
Dalam pada itu, laporan media menyebut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata Malaysia akan membayar sebanyak AS$250 juta (RM1.12 bilion) kepada Arm untuk mendapatkan akses kepada harta intelek (IP) berkaitan reka bentuk cip dalam tempoh 10 tahun untuk syarikat tempatan.
Bercakap dalam sesi taklimat kepada pengarang media baru-baru ini, beliau berkata kerajaan akan membeli tujuh Compute Sub System (CSS) IP, 25 unit Arm Flexible Access (AFA), dan beberapa produk lain yang masih belum diumumkan oleh ARM.
"Keutamaan kami adalah untuk memastikan fokus dalam dua atau tiga tahun akan datang supaya dalam tempoh lima tahun, kita (mungkin) dapat menghasilkan cip yang direka bentuk dan dibuat di Malaysia," katanya.
Comments