Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan kepada semua kerabat diraja supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum ataupun di media sosial dengan menonjolkan pekerti mulia agar dihormati dan disayangi rakyat.
Perkara itu dinyatakan dalam pertemuan bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Selangor, Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu yang sensitif membabitkan sesama Raja-Raja Melayu dielakkan daripada dibincangkan di media-media sosial.
"Pada pertemuan itu, Tuanku Sultan menegaskan bahawa perlunya ada kesatuan dan kesepaduan yang utuh di antara kesemua sembilan Raja-Raja Melayu.
"Titah Baginda, Raja-Raja Melayu mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa bantu membantu ketika berdepan apa jua permasalahan rakyat jelata," kata Selangor Royal Office dalam hantaran di Facebook.
"Ini sangat penting kerana peranan Raja-Raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu-isu agama, malah turut membabitkan isu-isu semasa lain."
Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Tunku Mahkota Ismail selama lebih sejam dengan membincangkan pelbagai isu yang melibatkan institusi diraja dan arena bola sepak tanah air.
Sultan Selangor menzahirkan ucapan terima kasih di atas keberangkatan Tunku Mahkota Ismail untuk menghadap.
"Baginda berasa sukacita dengan hasil pertemuan ini serta menerima baik isi kandungan warkah permohonan menghadap Tunku Mahkota Ismail bertarikh 6 September lalu," kata kenyataan itu.
Mengenai bola sepak, baginda bertitah kesefahaman telah dicapai bahawa tidak akan ada lagi perselisihan dan pertelagahan yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan,
"Bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat, justeru ia harus dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu wadah keharmonian negara," tegas baginda dipetik dari kenyataan Selangor Royal Office.
*Foto kredit: Selangor Royal Office
Opmerkingen