
Seluruh anggota KEADILAN dituntut berperanan bagi memperkasa insititusi reformasi dalam usaha menyemarakkan agenda Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hal itu ditegaskan dalam ucapan alu-aluan sempena Mesyuarat Tahunan Agung Cabang (MATC) KEADILAN Wangsa Maju oleh Ketua Cabang, Andre Lai Chen Heng, kelmarin.
Beliau mengingatkan parti KEADILAN merupakan platform paling sesuai untuk pemegang jawatan dan anggota cabang bagi berkongsi idea serta berbincang secara profesional dalam usaha pemantapan cabang melalui agenda reformasi.
"Kita meleraikan cabaran dan mempraktikkan perancangan dalam proses memperkasakan agenda reformasi.
"Reformasi yang kita laung-laungkan, telah diasah untuk menjadi asas kepada penubuhan Malaysia MADANI. 25 tahun telah kita lalui dan ia bukannya satu masa yang singkat," katanya.
Mengakui beliau bukan sebahagian daripada penggerak awal reformasi, bahkan tidak berada di Hotel Rennaisance pada April 1999 waktu parti ditubuhkan namun Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan ini telah cukup lama berada di dalam parti untuk melihat perubahan dalam KEADILAN daripada pembangkang sehingga menjadi Kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali.
"Dalam tempoh 25 tahun ini, kita jatuh, tetapi sentiasa bangkit kembali dengan lebih kuat. Kita pernah kalah dan sentiasa menang kembali dengan kedudukan yang lebih kukuh
"Saya membuat keputusan untuk mengadakan mesyuarat di sini, Taman Melati, sebagai satu penghormatan kepada mereka pengasas KEADILAN Wangsa Maju pada awal 2000an.
"Kerana di sinilah, KEADILAN Wangsa Maju bermula dan terus menjadi perintis kemenangan di setiap pilihanraya semenjak 2008," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau amat mengenang budi pejuang parti yang telah mengorbankan masa dan sumber demi melihat parti berkembang sehingga menjadi parti peneraju kerajaan.
Perasmian MATC KEADILAN Wangsa Maju itu disempurnakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Dalam ucapannya beliau memuji Cabang Wangsa Maju merupakan cabang aktif selepas Bandar Tun Razak. Azman berharap rekod itu akan terus dikekalkan pada masa akan datang.
Comments