Kenaikan premium insurans kesihatan yang mendapat perhatian Bank Negara Malaysia (BNM) dan melarang peningkatan premium melebihi 10% adalah berpunca daripada kenaikan melampau caj hospital swasta di negara ini.
Menurut kenyataan bersama para Ahli Parlimen dan anggota Dewan Negara KEADILAN, Kerajaan Madani seharusnya mengawal kecelaruan yang berlaku dalam pengenaan caj perubatan hospital swasta agar ianya dalam lingkungan yang munasabah.
"Kita memahami permasalahan pokok inflasi kesihatan berlaku pada hospital-hospital swasta.
"Kami bersetuju dengan kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa kita harus menyelesaikan masalah pokok (root causes) kepada kenaikan dan inflasi perubatan ini," kata mereka dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam satu taklimat kepada ahli-ahli Parlimen baru baru ini, BNM dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah memaklumkan bahawa terdapat caj perubatan yang berbeza serta tidak telus di seluruh negara.
Contohnya, bagi pesakit denggi yang menggunakan Guarantee Letter (GL) akan membayar RM4,978 manakala pesakit pay and claim hanya membayar RM1,288 dengan perbezaan empat kali ganda. Pesakit pneumonia yang menggunakan GL membayar RM6,859 dan pesakit pay and claim hanya membayar RM2,654, dengan perbezaan tiga kali ganda.
"Daripada aduan yang kami terima pula, pesakit katarak yang membayar dengan insurans membayar RM6,000 manakala yang tidak berinsurans hanya membayar RM3,000 dengan perbezaan sekali ganda.
"Mangsa kemalangan yang memasuki hospital swasta dicaj RM200,000 manakala memasuki HUKM hanya membayar RM70,000 untuk merawat kaki patah, dengan perbezaan tiga kali ganda. Mengapa berlaku perbezaan begitu ketara?" tanya mereka.
Selain itu, menurut mereka, BNM juga menunjukkan bahawa caj bekalan dan perkhidmatan (hospital supplies dan services, HSS) begitu tinggi sehingga 59%-70%, berbanding jumlah bil perubatan.
Komponen HSS terdiri daripada barangan seperti makmal dan pengimejan, ubat-ubatan, kejururawatan, peralatan perubatan (contohnya ventilator perubatan dan mesin dialisis) dan pelbagai barangan.
"Ketiga, kebanyakan barangan consumables dalam hospital tidak dikawalselia oleh mana-mana pihak kerajaan. Barangan consumables ini adalah berbeza-beza antara sesebuah hospital dengan yang lain.
"Maka kami, Ahli ahli Parlimen KEADILAN, berpendapat bahawa ada keperluan meneliti permasalahan caj hospital swasta yang tinggi. Setelah kami berjaya berjuang mengawal kenaikan premium insurans maka tumpuan kami sekarang adalah ke atas caj hospital swasta
"Kami menyeru rakyat terus bersama kami dalam perjuangan ini demi mewujudkan satu ekosistem perubatan swasta yang mampan, mampu biaya dan menang-menang kepada semua pihak. Ini suatu perjuangan yang panjang dan sukar," jelas mereka.
Tambah kenyataan itu, ekosistem hospital swasta yang mampan bakal menyelamatkan hospital awam daripada overcrowding dan meringankan pembiayaan kerajaan. Hal itu juga akan membantu golongan B40 mendapat rawatan yang lebih baik daripada hospital kerajaan.
Mereka juga menyeru agar pesakit-pesakit hospital swasta yang menghadapi caj hospital yang tidak munasabah untuk mengadu kepada: aduan.pkr.hospital.insurans@gmail.com
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Pua; Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari; Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Mun; Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Senator Bob Manolan.
Comments