
Kerajaan Selangor mengadakan jalinan kerjasama strategik dengan Turkiye sebagai usaha mempercepatkan transformasi digital di negeri itu.
Ia susulan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (SELATI) diwakili Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye yang diwakili Prof Dr Haluk Gorgun.
Antara lain MoU itu memfokuskan pembangunan bandar pintar, sistem lalu lintas dan aspek keselamatan.
Selain memberi manfaat kepada pembangunan Selangor sebagai negeri maju dan pintar, pemeteraian MoU itu yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam satu majlis di Putrajaya pada Selasa turut dijangka memperkukuh hubungan ekonomi, teknologi, dan keselamatan antara Malaysia dan Turkiye.
Untuk rekod, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada 2024, destinasi eksport utama, serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Turkiye mencatat RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) pada 2024, meningkat 18.7 peratus berbanding tahun 2023.
Selain MoU antara Selangor dan Turkiye itu, 10 MoU lain turut dimeterai dalam pelbagai sektor meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.
Comments