Selangor teruskan insentif bagi rawatan penyakit tibi
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan insentif rawatan penyakit tibi tahun ini sebagai komitmen memerangi penularan penyakit itu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, insentif berjumlah RM800 itu diperuntukan bagi membantu pesakit terutama golongan B40 agar mereka dapat meneruskan rawatan sehingga sembuh.
"Kadar insiden penyakit ini meningkat pada purata 2.5 peratus setiap tahun sejak 2020, menjadikan keperluan kepada intervensi berterusan dan menyeluruh semakin mendesak.
"Kerajaan negeri mahu pastikan pesakit, terutama dari golongan berpendapatan rendah, tidak terputus rawatan," katanya dipetik semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia dan Persidangan Tibi 2025 Peringkat Negeri Selangor di Setia Alam pada Isnin.
Berdasarkan statistik, Malaysia mencatatkan 26,183 kes tibi sepanjang tahun lalu dengan Selangor menyumbang kira-kira 20 peratus atau 5,337 kes.
Namun, hasil kerjasama Kerajaan Negeri, JKNS dan MAPTB (Persatuan Pencegahan Tuberkulosis Malaysia), kadar kejayaan rawatan meningkat daripada 80 peratus pada 2020 kepada 88 peratus tahun ini.
"JKNS kekal memainkan peranan teras dalam mendepani cabaran beban semasa penyakit tibi," ujarnya.
Katanya lagi, antara inisiatif utama termasuk melabur dalam teknologi kesihatan yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI) di samping ujian makmal terkini serta formulari ubat mesra kanak-kanak yang diperkenalkan.
"Pendekatan melalui inovasi perubatan ini diharap dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan beban penyakit dalam komuniti," jelas Jamaliah.
留言