
Kerajaan Negeri Selangor sedang memuktamadkan penyelarasan manfaat rawatan dialisis.
Exco Kesihatan, Jamaliah Jamaluddin berkata rawatan dialisis itu akan diletakkan di bawah program Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan bakal menyedia bantuan rawatan sehingga RM10,000.
"Penyelarasan manfaat rawatan dialisis ini akan membantu penerima manfaat rawatan dialisis yang layak menerima bantuan rawatan berjumlah sehingga RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.
"Buat masa ini, had bantuan rawatan asas bawah ISS ini adalah berjumlah RM70 bagi setiap sesi rawatan," katanya dipetik pada persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada Rabu.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2025, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi meneruskan program ISS.
Program itu sebagai bukti komitmen pentadbiran negeri membantu rakyat menerima bantuan rawatan asas secara percuma termasuk manfaat perlindungan kematian dan penyakit kritikal.
Sementara itu Jamaliah memaklumkan, Selcare Management Sdn Bhd (Selcare) telah melakukan penyelarasan kawalan harga rawatan asas terhadap klinik panel.
Jelasnya, inisiatif menerusi dokumen perjanjian dilaksana bagi memastikan caj rawatan yang dikenakan tidak membebankan kewangan penerima manfaat.
Comments