Kerajaan Selangor akan memperluaskan program tuisyen rakyat tajaannya kepada sejumlah 17,000 murid di negeri itu bagi meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi asas mereka.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata jumlah peserta bagi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) itu adalah berdasarkan data yang diterima daripada Jabatan Pendidikan negeri melibatkan murid Tahun Satu, Dua dan Tiga.
"Ketika ini, kita buat program intervensi iaitu melalui PTRS, yang bertujuan mendidik dan melatih mereka supaya lebih cekap... literasi, numerasi maknanya boleh membaca, mengira dan juga cara berfikir mereka itu dapat dipertingkatkan.
"(Ini kerana) mereka lebih kurang setahun, dua tahun tidak bersekolah akibat pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Kajang hari ini.
Program Tekad Reformasi Pendidikan merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Selangor.
Melalui program itu, Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor menonjolkan usaha kerajaan negeri dalam memodenkan infrastruktur pendidikan, menyediakan kemudahan pembelajaran terkini, serta memberi sokongan yang berterusan kepada pendidik dan pelajar.
Program itu juga bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri terdepan dalam memperkasa pendidikan berkualiti dengan pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan inovasi pendidikan.
Comentários