Kerajaan Negeri Selangor bakal melaksana projek turapan mega bagi memperbaiki infrastruktur jalan di negeri itu bermula April depan.
Exco Infrastruktur negeri Datuk Ir Izham Hashim berkata, projek dengan peruntukan RM50 juta itu tidak hanya memfokuskan pembaikan jalan raya kendalian pihak berkuasa tempatan sahaja sebaliknya diperluas kepada jalan di bawah kendalian pejabat daerah, pertanian dan Jabatan Kerja Raya negeri.
"Sebelum ini kita hanya fokus jalan di bawah pihak berkuasa tempatan sahaja, namun tahun ini semua jalan termasuk di kawasan kampung akan diturap sekiranya memerlukan.
"Kita telah arahkan semua agensi kenal pasti jalan raya yang rosak teruk dan perlu diturap segera selain kawasan kerap menerima aduan," katanya dipetik.
Sebelum ini Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, pihaknya sentiasa cakna terhadap rungutan dan laporan rakyat berhubung isu kerosakan jalan yang memberi risiko kepada keselamatan dan keselesaan pengguna.
Susulan itu melalui pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2025 pada November lalu beliau mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi projek turapan itu dan akan dikendalikan Infrasel Sdn Bhd selaku syarikat penyelenggara jalan negeri.
Dalam pada itu Ir Izham memaklumkan, turapan mega akan menggunakan jentera jetpatcher berteknologi tinggi dari United Kingdom yang dapat mempercepatkan proses turapan tiga kali ganda dan lebih efisien.
"Kebiasaannya turapan jalan mengambil masa lebih satu jam tetapi dengan adanya mesin bernilai RM2 juta ini prosesnya tidak sampai 30 minit.
"Bukan itu sahaja, kualitinya juga lebih kuat dan baik kerana turapan baharu lebih melekat dengan jalan lama kerana bahan tampalan lebih panas," katanya.
Comments