Selangor akan memainkan peranan penting dan berada pada barisan hadapan dalam usaha menjayakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelan pembangunan negeri Selangor yang ditetapkan seiring dengan usaha dilaksana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk memulihkan nama negara di persada antarabangsa.
"Ini amat penting terutamanya dalam usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim dibantu dengan pasukannya yang sedang giat memulihkan nama negara di persada antarabangsa untuk membina semula keyakinan pelabur.
"Malaysia adalah negara berbilang kaum paling unik di dunia untuk melabur buat jangka masa yang panjang," katanya melalui ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024.
Sementara itu tambah Amirudin, Selangor berjaya meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 25.9 peratus dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus.
Selangor juga muncul sebagai negeri pertama mencipta ekonomi dengan nilai melebihi RM400 billion dengan jumlah RM406.1 billion pada tahun lalu.
"Rancangan Selangor Pertama serta dokumen penting yang digagaskan perdana menteri seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kerangka Ekonomi Madani dan sebagainya turut memainkan peranan penting dalam aspek ini," katanya dipetik.
Comments