Kerajaan Selangor berhasrat untuk terus menjadikan negeri itu sebagai contoh mengembangkan inisiatif berasaskan teknologi dan inovasi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dipetik berkata, beberapa langkah strategik dilaksana pihaknya termasuk melalui Program kecerdasan buatan (AI) Trailblazers.
Menerusi program itu jelasnya, Selangor mengadakan kerjasama dengan syarikat gergasi teknologi Google untuk membangunkan aplikasi AI selain penubuhan Pusat Inkubator AI Selangor yang menyediakan latihan dan pendidikan AI berkualiti tinggi.
"Selangor juga memacu pertumbuhan dalam industri cip dengan pembangunan Semiconductor IC Design Parks di Puchong dan Cyberjaya.
"Selain itu, turut meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui melalui Payung Solar Farm dan projek sisa kepada tenaga (WTE)," katanya dipetik Sinar Harian.
Sementara itu Amirudin menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memacu gelombang ekonomi mendatang dengan memberi impak terhadap ekonomi Malaysia dan dunia menerusi teknologi dan inovasi.
Selangor akan mengemukakan kertas putih AI merangkumi usaha meningkatkan kecekapan khidmat kerajaan dan menilai kaedah AI sebagai pelengkap komuniti pekerja dalam sidang Dewan Negeri akan datang.
Comments