Kerajaan Negeri Selangor dipimpin KEADILAN melunaskan sepenuhnya liabiliti hutang berjumlah RM21.09 juta dengan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada petang Jumaat berkata, ia selari seperti dijanjikan pentadbirannya tahun lalu.
"Inilah komitmen pentadbiran ini untuk bukan sahaja merancang tetapi mampu melaksanakan ikhtiar," katanya dipetik.
Amirudin sebelumnya menjelaskan, jumlah tersebut membabitkan baki pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS) yang masing-masing berjumlah RM19,207,475.78 serta RM1,893,379.47.
"Penyelesaian hutang membuka ruang untuk meneruskan strategi hasil baharu dengan meningkatkan pembabitan anak syarikat, badan berkanun, dan agensi kerajaan negeri melalui pemberian sumbangan dan dividen," tambahnya.
Pada pembentangan itu juga, Amirudin memaklumkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri sehingga 7 November lalu adalah baik dengan kedudukan rizab semasa negeri sebanyak RM4.37 billion.
Dalam masa yang sama beliau menjelaskan antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun ini adalah premium tanah iaitu sebanyak RM1,048.60 juta bersamaan 48 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.
"Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM592.65 juta bersamaan 27 peratus, manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada pemberian persekutuan iaitu berjumlah RM209.20 juta bersamaan 10 peratus.
"Sehingga 13 November 2024, hasil negeri mencapai jumlah kutipan sebanyak RM2.429 bilion bersamaan dengan 110.43 peratus daripada anggaran hasil tahun 2024 sebanyak RM2.2 bilion," katanya.
Comentarios