![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_a72507e8149d4d32a5ba9aeedc5d3685~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_469,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_a72507e8149d4d32a5ba9aeedc5d3685~mv2.jpg)
Pelbagai inisiatif dilaksana kerajaan negeri Selangor bagi menjaga habitat hidupan liar termasuk dari spesis keluarga monyet.
Exco Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata usaha tersebut dijalankan menerusi dua jalinan sekunder di bawah Pelan Induk Rangkaian Ekologi Tulang Belakang Hutan 2022 bertujuan memelihara koridor hijau dan kemampanan alam.
"Koridor ini memainkan peranan penting dalam memastikan primat dan hidupan liar lain boleh bergerak bebas di antara kawasan hutan, mengurangkan pemecahan habitat yang disebabkan oleh pembangunan," katanya dipetik.
Koridor tersebut ialah BSL1, yang menghubungkan Hutan Simpan Raja Muda, Hutan Simpan Bukit Tarek dan Hutan Simpan Gading dan BSL2 yang menghubungkan Hutan Simpan Sungai Lalang dan Hutan Simpan Hulu Langat.
Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi sebelum ini memaklumkan daripada 26 spesis primat yang berasal dari Malaysia, 15 spesis kini terancam atau kritikal terancam, lapan spesis terdedah dengan ancaman kepupusan manakala tiga hampir terancam.
Sementara itu Jamaliah yang juga ADN Bandar Utama berkata, Kerajaan Selangor melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia melaksana pelbagai langkah strategik bagi mengatasi kebimbangan itu.
Antara usaha tersebut adalah memasang papan tanda lintasan hidupan liar di lokasi strategik bagi mengurangkan kemalangan jalan raya, menjalankan program pengayaan habitat serta memulih semula hutan dan pokok asli.
Selain itu Selangor menyasar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus tanahnya sebagai hutan simpan kekal dengan ketika ini hutan simpan kekal meliputi 250,987.12 hektar atau 31.7 peratus.
"Usaha ini menekankan komitmen Selangor untuk mengimbangi pembangunan dengan pemuliharaan, memastikan kemampanan jangka panjang habitat semula jadi di samping melindungi populasi primat," tambahnya.
Comments