Kerajaan Negeri Selangor melakar satu lagi sejarah pada 2024 apabila mencatat hasil akhir pendapatan berjumlah RM2.858 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri itu.
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu ciapan di laman X berkata, jumlah itu melepasi pencapaian terbaik kutipan Selangor pada 2017 iaitu RM2.811 billion.
"Semalam kala berehat di jam-jam terakhir 2024, saya dimaklumkan hasil akhir pendapatan negeri 2024 RM2.858 bilion (129 peratus) dari sasaran.
"Sudah pasti kejayaan ini disumbang hasil kerjasama erat Kerajaan Negeri-sektor swasta-rakyat, dipandu dengan polisi-polisi dinamik Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
"Alhamdulillah syukur pada Ilahi dengan rahmat-Nya, segala puji buat Rasulullah pembawa rahmat sekalian alam," katanya dipetik.
Sementara itu menurut Amirudin, perlaksanaan perbelanjaan sepanjang tahun lalu pula, Selangor mencatat prestasi perbelanjaan pengurusan 98.07 peratus dan perbelanjaan pembangunan 97.18 peratus.
Amirudin turut menitipkan ucapan selamat tahun baharu 2025 kepada seluruh rakyat dan berharap setiap pengalaman yang dikutip tahun lalu menambah baik kualiti hidup di hari mendatang.
Comments