Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
ULASAN: Kerajaan Negeri Selangor melalui kepimpinan YAB Datuk Seri Amirudin Shari telah membuka ruang baru bagi industri halal di Malaysia apabila menjadi Kerajaan Negeri pertama yang menubuhkan portfolio industri halal di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
Portfolio tersebut telah diserahkan kepada YB Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagai Exco yang bertanggungjawab. Di bawah kendalian beliau beberapa inisiatif baru yang berimpak tinggi telah dapat direalisasikan sepanjang hampir 3 tahun portfolio tersebut diwujudkan.
Kejayaan paling besar untuk portfolio industri halal di Selangor adalah penganjuran Selangor International Halal Convention (SELHAC), program tersebut dianjurkan untuk kali kedua pada tahun 2023 selepas kejayaan penganjuran pada tahun 2022.
Melibatkan pemain industri dalam, luar negara
SELHAC merupakan program yang telah digariskan di bawah Rancangan Selangor-1 (RS-1) bagi mengembangkan industri halal di Selangor. SELHAC yang dianjurkan untuk kali pertama pada tahun 2022 telah berjaya menarik kehadiran 4 000 orang pengunjung bersama 70 buah agensi (swasta dan kerajaan) yang membuka 105 reruai bagi mempromosikan produk halal masing-masing.
Program tersebut juga telah mencatatkan urusniaga mencecah RM 37.73 juta melibatkan syarikat ternama dan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) khususnya di Selangor. Pada tahun 2023 SELHAC akan dilaksanakan pada 10 hingga 12 Mac bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC), penganjuran SELHAC pada tahun 2023 cuba meneroka peluang industri halal melibatkan pemain industri di Selangor bersama pemain industri di peringkat antarabangsa.
Usaha lain yang sedang diusahakan di bawah portfolio industri halal adalah penubuhan sebuah makmal yang lengkap serta menepati standard JAKIM/ JAIS bagi menjalankan aktiviti pengesahan produk halal serta penyelidikan berkaitan sains halal, makmal tersebut akan ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Selangor.
Makmal tersebut akan berperanan untuk membantu JAIS mengeluarkan sijil halal ke atas produk dan syarikat berkaitan. Pada masa kini terdapat beberapa makmal swasta yang beroperasi bagi membantu JAIS mengeluarkan sijil halal, namun kredibiliti makmal tersebut sering dipersoalkan kerana statusnya sebagai organisasi swasta.
Tubuh makmal diyakini status halal
Penubuhan makmal sains halal di bawah kerajaan Negeri Selangor bakal memberi kredibiliti yang lebih teguh terhadap logo halal yang dikeluarkan oleh JAIS, malah makmal tersebut bakal berperanan untuk membantu menjayakan Selangor Halal Action Plan (SelHap) 2020-2030 yang bermatlamat menjadikan Selangor sebagai Hab Halal Global pada suatu masa nanti.
Pujian seharusnya diberikan kepada kepimpinan kerajaan Negeri Selangor yang cuba menjuarai industri halal berbanding pentadbiran negeri lain yang masih belum mewujudkan portfolio industri halal di bawah pentadbiran mereka.
Sebagai negeri terawal menjadi perintis terhadap insdustri halal, kejayaan yang dicapai juga adalah sangat memberangsangkan dengan meletakkan pasaran antarabangsa sebagai matlamat. Visi besar untuk menjadi hab halal global yang di bawa oleh YAB Datuk Seri Amirudin Shari kini secara konsisten sedang diusahakan oleh YB Zawawi Ahmad Mughni.
Jika perancangan SelHap 2020-2030 diteruskan dengan kerajaan kini terus kekal diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini, tidak mustahil impian untuk menjadikan Selangor sabagai ikon industri halal dunia akan dapat dicapai menjelang tahun 2030.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Cabang Pandan
Comments