Selangor bincang usaha kurangkan impak tarif baharu AS terhadap PMKS
- Suara Keadilan
- Apr 8
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan berusaha menangani kesan tarif baharu diumumkan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini kepada sektor perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) terutama di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya bakal mengadakan perbincangan mengenai isu tersebut secara menyeluruh dengan semua pihak berkaitan minggu hadapan.
"Bagi industri semikonduktor, ia tidak dikenakan sebarang tarif. Jadi saya rasa adalah satu kelebihan.
"Kita lihat Malaysia adalah negara kedua terendah selepas Singapura, negara lain ada kena tarif sehingga 43 peratus.
"Jadi, di situ sebenarnya memberi ruang untuk Selangor dan juga Malaysia mendapat peluang yang lebih baik," katanya dipetik pada sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di Shah Alam semalam.
Presiden AS, Donald Trump pada minggu lalu mengumumkan tarif baharu cukai yang dikenakan oleh pentadbirannya ke atas barang dan perkhidmatan yang diimport dari negara lain.
Pengumuman mengejutkan ekonomi di seluruh dunia itumenimbulkan kebimbangan terhadap situasi perang perdagangan global dan kemelesetan ekonomi.
Sementara itu menurut Amirudin, walaupun Malaysia dijangka tidak terjejas teruk dengan pengumuman itu tetap akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN untuk melindungi rakan negara jiran yang terkesan.
"Saya percaya pertemuan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad membincangkan hal itu untuk kemaslahatan bersama negara ASEAN," katanya.
Comments