
Kerajaan negeri Selangor sedang merangka fasa akhir dasar berkaitan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri itu.
Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid berkata, usaha tersebut bertujuan memastikan mereka dapat menerima manfaat disediakan selain mengiktiraf peranan dimainkan mereka.
"Kita jangka dasar ini akan dilancarkan pertengahan tahun ini, selepas pembentangan di Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dijangka pada Mei ini.
"Selepas siap, kita akan buat jerayawara (road tour) dan sesi libat urus dengan semua pihak supaya pembangunan kita pada masa akan datang akan lebih mesra OKU," kata Danial yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga.
Beliau sebelumnya hadir bagi meninjau Karnival Kerjaya DUN Batu Tiga anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Dewan Beringin, Seksyen 24 di Shah Alam pada Sabtu.
Sementara itu jelasnya, dasar yang sedang dirangka adalah khusus untuk setiap peringkat umur melibatkan pelbagai aspek seperti pendidikan, pengangkutan, capaian dan sebagainya.
Dasar tersebut jelasnya akan dijadikan garis panduan dengan semua anak syarikat negeri serta jabatan akan menjadi agensi pelaksana utama.
"Kadang-kadang kita buat bangunan cantik-cantik tetapi OKU tidak boleh masuk. Mereka ini juga ada hak untuk ke stadium tengok bola, pergi beriadah dan ke pusat beli belah," tambah Danial.
Comments