
Kerajaan Negeri Selangor bakal menganjurkan Festival Turath Islami Selangor edisi ketiga pada Julai ini.
Portal Selangorkini dalam laporannya berkata, beberapa ulama luar negara termasuk Mesir, Maghribi, India dan Pakistan dijangka hadir dalam program yang akan berlangsung selama lapan hari itu.
"Festival kali ketiga ini membawakan dua kitab pengajian tafsir, termasuk karya ulama tersohor Imam Jalaluddin al-Suyuti.
"Kitab Tafsir Jalalain, rujukan utama dalam pengajian tafsir al-Quran, dikarang Imam Jalaluddin al-Mahalli yang meninggal dunia pada 1459 sebelum diteruskan muridnya al-Suyuti.
"Satu lagi kitab berjudul Usul Tafsir tulisan al-Suyuti juga dikupas dalam program yang akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
"Perincian festival tersebut akan diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sambutan Nuzul Quran pada 18 Mac," kata portal rasmi kerajaan negeri itu.
Festival Turath Islami Selangor yang melibatkan tokoh agama tempatan dan ulama terkenal luar negara pertama kali dianjur pada 2023 bertujuan menyuburkan syiar Islam di negeri itu.
Bagi tahun pertama penganjurannya, program itu menumpukan bidang tasauf yang disampaikan bekas Mufti Agung Mesir Prof Dr Ali Juma’ah Muhammad Abdul Wahab yang mengupas kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali.
Sementara pada tahun lalu, tumpuan perbincangan terarah kepada bidang hadis yang menyaksikan Dr Ali Juma’ah diundang sekali lagi bagi mengupas kitab Hadis 40 Imam Nawawi.
Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2025 memperuntukan RM1 juta kepada kepada Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) dan Akademi Turath Selangor bagi memperkasa pengurusan dan pengajian al-Quran serta kitab.
Comments