Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan geran bagi mendorong penggiat industri pelancongan menonjolkan produk baharu yang lebih menarik.
Exco Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata geran bernilai RM200,000 yang mula diagihkan tahun depan akan menitikberatkan pelbagai aspek termasuk yang mampu memberi kesan bagi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
"Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai insentif kepada penggiat industri pelancongan termasuk terbaharu meluluskan geran bagi menggalakkan mereka mengeluarkan produk sendiri yang menjadi tarikan untuk pelancong datang ke Selangor.
"Geran ini mula diagih pada tahun depan dan terbuka kepada persatuan pelancongan mahu pun pertubuhan bukan kerajaan. Semua boleh memohon termasuk penggiat industri di luar bandar," katanya dipetik Selangorkini.
Kerajaan Selangor menyasarkan lapan juta pelancong tempatan dan luar negara melawat negeri itu sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.
TMS 2025 bertemakan 'Surprising Selangor' bakal dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara dan program menarik, dengan lebih 100 acara diadakan di setiap daerah di negeri itu.
November lalu, Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan pada pra pelancaran Kempen TMS2025 memaklumkan, geran tersebut akan memanfaatkan 20 penggiat industri antara lain bertujuan memastikan sektor berkenaan terus pulih dan berkembang selepas terjejas ketika pandemik Covid-19.
Comments